Anggota polis maut dalam perjalanan ke tempat kerja

MUAR – Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Parit Kangkong, Parit Jawa di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian pada kira-kira jam 6.30 pagi mengorbankan mangsa, Sarjan Ishak Abdul Kadir, 55, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.
“Hasil siasatan awal mendapati treler yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun sedang mengundur dalam keadaan melintang jalan sebelum dilanggar oleh kereta dipandu mangsa dari arah pekan Parit Jawa menuju ke Batu Pahat untuk ke tempat kerja.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, ujian nafas dan darah terhadap pemandu treler mendapati dia bebas daripada pengaruh alkohol serta bahan terlarang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seramai 12 anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta jenis Honda City.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I ( PBK I) Jahairi Shukor berkata, peralatan menyelamat dan 'winching' jentera bomba digunakan sewaktu operasi menyelamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

