Ketuai Suruhanjaya Etika ISSA pengiktirafan kepada Malaysia – Norza

Malaysia antara negara Islam paling aktif memperjuangkan nilai integriti dan etika dalam sukan di peringkat antarabangsa

Norza (kiri) menerima ucapan tahniah ketika mengadap Putera Abdulaziz sempena Sukan Asia Remaja (AYG) Ketiga 2025 di Manama, Bahrain.
Norza (kiri) menerima ucapan tahniah ketika mengadap Putera Abdulaziz sempena Sukan Asia Remaja (AYG) Ketiga 2025 di Manama, Bahrain.
A
A
A

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Norza Zakaria menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Etika Persatuan Sukan Solidariti Islam (ISSA) sebagai pengiktirafan kepada Malaysia yang menjadi antara negara Islam paling aktif memperjuangkan nilai integriti dan etika dalam sukan di peringkat antarabangsa.

Norza berkata, kepercayaan itu mencerminkan keyakinan komuniti sukan Islam terhadap komitmen Malaysia dalam memupuk budaya tadbir urus baik serta profesionalisme dalam arena sukan antarabangsa.

“Saya amat berbesar hati dan bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan ini. Ia bukan sekadar penghormatan peribadi, tetapi juga pengiktirafan kepada Malaysia yang konsisten menjunjung nilai etika dan integriti dalam arena sukan,” katanya pada Khamis.

Pelantikan itu berkuat kuasa Rabu selepas diumumkan oleh Presiden ISSA, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal, yang juga Menteri Belia dan Sukan Arab Saudi serta Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi.

ISSA merupakan badan sukan antarabangsa di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang ditubuhkan pada tahun 1985 bagi memperkukuh perpaduan dan persahabatan antara negara Islam melalui sukan.

Pelantikan Norza ke jawatan penting itu dibuat sebagai pengiktirafan terhadap integriti, pengalaman luas serta komitmennya terhadap prinsip tadbir urus baik dan etika sukan di peringkat antarabangsa.

Selain menerajui MOM, beliau turut memegang beberapa jawatan penting antarabangsa termasuk Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara, Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Presiden Kehormat Badminton Asia serta Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Norza berkata, beliau telah menyampaikan penghargaan peribadi kepada Putera Abdulaziz semasa sesi menghadap khas di Arab Saudi pada Khamis.

“Saya berjanji untuk menggunakan pengalaman dan kepakaran saya dalam memperkukuh asas tadbir urus serta etika pergerakan sukan Islam di bawah pimpinan bijaksana baginda,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi jaminan bahawa MOM akan terus memainkan peranan proaktif dan menyokong kepimpinan ISSA, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan platform itu sebagai pemangkin kemajuan sukan di dunia Islam.

Suruhanjaya Etika ISSA akan bertanggungjawab mengawasi semua aspek berkaitan tatakelakuan, integriti dan tadbir urus bagi memastikan kelestarian serta keberkesanan pergerakan sukan Islam, khususnya Sukan Solidariti Islam yang kini menarik penyertaan 57 negara anggota.

Dua tokoh turut dilantik sebagai ahli suruhanjaya berkenaan ialah Ketua Jabatan Belia dan Sukan OIC, Dr Boubakari Maiga serta Ahli Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Bahrain, PYT Sheikh Dr Hussa Khalid Al-Khalifa.

Pelantikan ini meletakkan Norza sebagai antara figura penting dunia sukan Islam, membuktikan kemampuan Malaysia menjadi rakan strategik dalam memacu hala tuju sukan berasaskan nilai murni dan profesionalisme di peringkat global.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!