Atlet Perak raih pingat Sukan SEA terima insentif RM93,800

Saarani (berdiri, tengah) bersama atlet anak Perak yang melakar kejayaan meraih pingat di pentas Sukan SEA Thailand 2025.
Saarani (berdiri, tengah) bersama atlet anak Perak yang melakar kejayaan meraih pingat di pentas Sukan SEA Thailand 2025.
A
A
A

IPOH - Kejayaan atlet anak Perak di pentas Sukan SEA Thailand 2025 terus mendapat pengiktirafan apabila seramai 45 atlet menerima insentif kemenangan berjumlah RM93,800 daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian tersebut membuktikan Perak kekal sebagai antara negeri penyumbang utama atlet berkualiti kepada kontinjen negara di peringkat antarabangsa.

"Kita begitu teruja dan berbangga apabila mengetahui ramai anak Perak mewakili Malaysia dalam Sukan SEA baru-baru ini.

"Sebahagian daripada mereka hadir hari ini dengan pingat yang dimenangi," katanya sempena Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Pada Sukan SEA lalu, atlet Perak menyumbang 26 pingat emas iaitu menerusi sukan kriket berpasukan, sepak takraw, hoki, gimnastik, berbasikal, tenpin bowling, kabbadi dan skuasy.

Saarani (tengah) meninjau bas baharu Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak sempena Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Khamis.
Saarani (tengah) meninjau bas baharu Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak sempena Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Khamis.

Dalam majlis itu, kerajaan negeri turut menyalurkan Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak Tahun 2025 kepada 40 atlet melibatkan peruntukan RM45,650, sebagai penghargaan atas pencapaian mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Saarani turut menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan kepimpinan kontinjen Negeri Perak bagi temasya SUKMA ke-22 yang akan berlangsung di Selangor pada 2026 sebagai langkah awal memperkukuh persediaan negeri menghadapi temasya tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kontinjen Negeri Perak bagi SUKMA 2026 diterajui Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim selaku Chef de Mission dibantu Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohamad Zaki Mahyudin, selain pelantikan tambahan kepada bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mun Yee sebagai Timbalan Chef de Mission.

Menurut Saarani, pelantikan tambahan itu mengambil kira peranan dan sumbangan Mun Yee dalam penjenamaan Perak sebagai antara negeri yang berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025, kerajaan negeri menerima sebanyak 1,119 aduan menerusi lapan siri Hari Bertemu Pelanggan.

Katanya, daripada jumlah itu, 1,011 aduan berjaya diselesaikan, melibatkan kadar penyelesaian keseluruhan sebanyak 90.35 peratus.

"Hari ini, sebanyak 216 aduan diterima yang melibatkan pelbagai isu rakyat.

"Sebanyak 96 kaunter perkhidmatan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri disediakan termasuk dua kaunter bergerak, selain pengisian tambahan seperti Jualan Rahmah dan jualan murah yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," katanya.

Ringkasan AI

  • Atlet anak Perak menerima insentif kemenangan RM93,800 dari kerajaan negeri untuk kejayaan di Sukan SEA Thailand 2025
  • Perak dianggap sebagai negeri penyumbang utama atlet berkualiti di peringkat antarabangsa
  • Atlet Perak menyumbang 26 pingat emas dalam pelbagai sukan pada Sukan SEA terakhir
  • Kerajaan negeri Perak menyalurkan Insentif Kecemerlangan Sukan RM45,650 kepada 40 atlet
  • Pelantikan kepimpinan untuk kontinjen Perak SUKMA 2026 telah dilakukan sebagai persiapan awal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!