Rasuah lebuh raya: Keterangan Tan Sri disambung esok

KUALA LUMPUR – Proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya akan disambung pada Khamis.
Sebelum itu, proses merekod keterangan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa kira-kira enam jam bermula pada jam 9 pagi dan selesai pada jam 3 petang, Rabu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses rakaman percakapan pemegang konsesi lebuh raya terbabit selesai pada Rabu.
“Proses rakaman percakapan ini akan bersambung semula jam 9 pagi esok (Khamis)," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah Azam, setakat ini, seramai 52 keterangan saksi sudah diambil.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, pemegang konsesi lebuh raya itu merupakan saksi utama dalam siasatan kes terbabit.
Media sebelum ini melaporkan bahawa 45 saksi yang diambil keterangan sebelumnya bagi membantu siasatan sudah dipanggil semula untuk memberikan maklumat tambahan.
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan harta dengan jumlah keseluruhan sitaan berjumlah kira-kira RM143 juta, yang dirampas dalam siasatan penyelewengan sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.
Jumlah terkini sitaan membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta, sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.
Turut disita adalah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta, tas tangan bernilai RM3 juta, barang kemas serta berlian bernilai RM6 juta, dan empat ekor kuda bernilai RM400,000, selain minuman beralkohol bernilai RM3 juta, aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta, serta aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
