Sepak takraw model persatuan sukan berjaya

Jefri (depan,kiri) menerima cenderahati dari Mohd Sumali selepas merasmikan mesyuarat agung tahuan PSM di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Bernama.
Jefri (depan,kiri) menerima cenderahati dari Mohd Sumali selepas merasmikan mesyuarat agung tahuan PSM di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Bernama.
A
A
A

PERSATUAN Sukan Kebangsaan (PSK) wajar menjadikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai model untuk bangkit dan berjaya di pentas antarabangsa.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan telah meletakkan sukan warisan tersebut ke satu tahap yang tinggi.

"Saya lihat sukan sepak takraw sudah berada pada satu tahap yang baik, lebih baik berbanding sebelum ini, hasil kepimpinan Mohd Sumali dan ahli-ahli majlis.

"Ini menjadi penanda aras untuk persatuan sepak takraw dan persatuan lain agar dapat mencontohi bagaimana sukan ini bangkit semula," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM di Kuala Lumpur pada Ahad.

Mohd Sumali menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu badan induk itu untuk sesi 2025-2028 buat penggal kedua berturut-turut.

"Saya ucap tahniah kepada Mohd Sumali kerana terpilih semula sebagai presiden dan berharap beliau terus memajukan sepak takraw negara," ujar Jefri.

Beliau juga berharap, PSM dapat terus memacu sukan tersebut ke pentas antarabangsa.

"Sejak tahun lepas, sepak takraw telah menunjukkan prestasi membanggakan dengan pelbagai kejayaan.

"Kita berharap momentum ini diteruskan di Sukan SEA Thailand, Sukan Asia di Nagoya dan Sukan SEA 2027 apabila Malaysia menjadi tuan rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, skuad sepak takraw negara meraih dua gelaran masing-masing pada Piala Dunia 2024 serta Piala Asia 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!