Dr Noor Hisham rayu jangan salahkan tabligh

Gambar hiasan. (Gambar kecil:Dr Noor Hisham Abdullah)
Gambar hiasan. (Gambar kecil:Dr Noor Hisham Abdullah)
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang awam tidak menyalahkan jemaah tabligh dalam peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Beliau turut menasihatkan agar mana-mana pihak tidak mendiskriminasikan golongan itu.

"Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. Janganlah kita diskriminasikan jemaah tabligh. Janganlah kita stigmakan jemaah tabligh.

"Apa yang penting adalah kita bantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, menurutnya, kesemua jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini boleh mula membuat saringan Covid-19 esok.

"Ini termasuklah mereka yang tidak bergejala perlu melakukan ujian saringan," katanya.

Menurutnya, arahan dikeluarkan kepada jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah bagi tujuan itu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka sudah dimaklumkan mengenai hal ini. Insya-ALLAH esok boleh datang buat saringan," katanya.

Berdasarkan statistik, sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes adalah kluster tabligh.