'Hanya peserta lulus simulasi dibenar sertai misi flotilla'

SHAH ALAM – Setiap peserta diwajibkan menjalani latihan khusus sebelum dibenarkan menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) ke Gaza, bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di laut.
Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali berkata, ramai peserta telah menunggu giliran untuk menaiki kapal dan menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, setiap peserta diwajibkan mengikuti latihan simulasi bagi menguji reaksi dan kesediaan sekiranya berdepan situasi serangan. Individu yang gagal menunjukkan tindak balas yang betul tidak akan dibenarkan menyertai misi.
“Sejak 2024 lagi, mereka sudah menunggu peluang untuk menaiki kapal. Apabila peluang itu tiba, semua aktivis begitu teruja dan berusaha menjayakan misi ini.
“Namun sebelum dibenarkan menaiki kapal, setiap peserta diwajibkan menjalani latihan tanpa kekerasan (non-violence training) yang merupakan syarat utama pihak penganjur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Interviu Misi Flotilla, 'Mak Online' & Apa Selepas Ini yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Menurut beliau, latihan tersebut termasuk simulasi bagaimana peserta perlu bertindak sekiranya diserang oleh tentera Israel semasa dalam pelayaran ke Gaza.
“Dalam latihan itu, mereka lakukan simulasi sekiranya berlaku serangan oleh Israel, dan peserta perlu menunjukkan reaksi yang sesuai. Jika peserta gagal mematuhi garis panduan latihan, dia boleh ditolak dan tidak dibenarkan menyertai misi,” jelasnya.
Tambahnya, pendekatan tegas itu penting untuk memastikan setiap individu mematuhi prinsip keamanan serta tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan provokasi.
“Alhamdulillah, semua peserta dari Malaysia dibenarkan menaiki kapal seperti yang dirancang. Di atas kapal juga, penganjur meneruskan latihan tambahan bagi semua peserta,” ujarnya.
Mohd Alauddin turut memaklumkan bahawa disiplin dan komitmen tinggi dalam kalangan peserta Malaysia menjadi antara kekuatan utama pasukan negara dalam misi kemanusiaan tersebut.
“Setiap pagi sebelum menyertai program bersama peserta antarabangsa, kita akan adakan sesi taklimat bagi mengingatkan peserta tentang tugasan, serta memberi ruang kepada mereka berkongsi pandangan dan perasaan sebelum memulakan aktiviti harian,” katanya.
Langkah itu, ujarnya, secara tidak langsung membantu memperkukuh semangat kebersamaan dan memastikan setiap peserta kekal fokus terhadap matlamat misi kemanusiaan ke Gaza.
Ringkasan AI
- Peserta misi Freedom Flotilla Coalition ke Gaza diwajibkan menjalani latihan khusus termasuk simulasi serangan
- Para aktivis telah menunggu sejak 2024 untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut
- Latihan tanpa kekerasan merupakan syarat utama pihak penganjur sebelum dibenarkan menaiki kapal
- Peserta yang gagal mematuhi garis panduan latihan boleh ditolak daripada menyertai misi
- Komponen disiplin dan komitmen peserta Malaysia dianggap sebagai kekuatan pasukan dalam misi tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

