Terdesak cari wang saku, pelajar IPT sanggup gadai akaun kepada scammer

KUALA NERUS – Desakan hidup dan kekangan kewangan mendorong segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian bagi mendapatkan wang dengan segera.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, siasatan mendapati terdapat dalam kalangan pelajar universiti di negeri ini yang terbabit secara tidak langsung dalam kegiatan jenayah siber.
“Ada antara mereka yang sedar akaun digunakan untuk tujuan tidak sah, tetapi tetap membenarkannya kerana terdesak memerlukan wang.
“Ada juga yang mungkin berhutang dengan ‘ah long’ atau terjebak dengan pinjaman tidak sah, lalu mengambil jalan mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Keselamatan Jalan Raya Peringkat IPT Terengganu 2025 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, pada Rabu.
Menurut Mohd Khairi, tindakan membenarkan akaun digunakan oleh pihak lain boleh menyebabkan pelajar berdepan hukuman di bawah Seksyen 29(1) Akta Pencegahan Jenayah kerana memiliki atau menerima barangan hasil jenayah.
“Pelajar perlu sedar, walaupun bukan mereka yang melakukan penipuan, membenarkan akaun digunakan tetap dikira bersubahat dan boleh didakwa.
“Kita bimbang mereka tidak menyedari akibat perbuatan itu, dan akhirnya merosakkan masa depan sendiri,” ujarnya.
Jelas beliau, kes pelajar menjadi pemilik akaun keldai atau ‘mule account’ semakin membimbangkan apabila sindiket menggunakan akaun tersebut untuk memindahkan wang hasil jenayah dalam talian.
“Berdasarkan statistik bagi tempoh Januari hingga September 2025, sebanyak 133 kes jenayah komersial direkodkan melibatkan mangsa dalam kalangan pelajar IPT, dengan jumlah kerugian melebihi RM1.16 juta.
“Dalam tempoh sama, seramai lapan pelajar berusia antara 18 hingga 33 tahun telah ditahan atas kesalahan berkaitan akaun keldai, melibatkan pelajar dari IPTA dan IPTS,” katanya.
Tambah beliau, pendedahan dan pendidikan berkaitan jenayah siber amat penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar agar lebih berhati-hati menerima tawaran pekerjaan dalam talian yang mencurigakan.
Beliau berkata, sebanyak 81 kes direkodkan membabitkan penipuan telekomunikasi seperti penyamaran atas talian, panggilan palsu, tawaran kerja palsu serta aktiviti perjudian dalam talian, diikuti 41 kes e-Dagang selain beberapa kes Love Scam dan E-Financial Fraud.
Sehubungan itu, katanya, polis sentiasa bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti bagi memantau pelajar yang disyaki terlibat dalam kegiatan akaun keldai.
“Kami percaya ada juga pelajar yang diperdaya, kononnya akaun mereka digunakan untuk urusan kerja sambilan atau transaksi pinjaman, sedangkan ia sebenarnya helah sindiket,” jelasnya.
Dalam masa sama, katanya, program keselamatan jalan raya yang turut dianjurkan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memberi fokus kepada keselamatan mahasiswa.
Menurut beliau, sebanyak 33 kes kemalangan jalan raya melibatkan pelajar universiti direkodkan antara Januari hingga September tahun ini, termasuk dua kes maut.
“Jumlah itu sedikit meningkat berbanding 32 kes pada tahun 2024. Kita mahu pelajar jadikan statistik ini sebagai peringatan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya.
Ringkasan AI
- Desakan hidup dan kekangan kewangan mendorong pelajar IPT di Terengganu membenarkan akaun bank digunakan sindiket penipuan talian
- Ketua Polis Terengganu menyatakan pelajar terlibat dalam kegiatan jenayah siber secara tidak langsung
- Membenarkan akaun digunakan boleh bawa hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah
- Statistik Januari hingga September 2025 mencatatkan 133 kes jenayah komersial melibatkan pelajar IPT dengan kerugian lebih RM1.16 juta
- Pendidikan kesedaran tentang jenayah siber penting untuk mencegah pelajar terlibat dalam kegiatan penipuan online
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
