Mahkamah Syariah Melaka rekod sejarah, hukum tiga lelaki kes liwat

Muhammad Nabil (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas tuduhan liwat pada Rabu.
Muhammad Nabil (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas tuduhan liwat pada Rabu.
A
A
A

MELAKA – Padah terlibat dalam aktiviti liwat dan cubaan meliwat, tiga rakan masing-masing didenda antara RM4,000 hingga RM8,500 serta dijatuhi hukuman penjara antara 24 hingga 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka di sini pada Rabu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohammad Fahmi Kamarudin, 26; Muhammad Nabil Junaidi, 24, dan Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Kanan Syarie, Abu Bakar Mohd Daud.

Bagaimanapun, mahkamah menggunakan budi bicara dengan menukar hukuman penjara terhadap mereka kepada Perintah Kehadiran Wajib (PKW) masing-masing selama 10 bulan bagi Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil serta lapan bulan terhadap Meor Aliff Isqandar.

Meor Aliff Isqandar (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Melaka selepas hukuman dijatuhkan.
Meor Aliff Isqandar (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Melaka selepas hukuman dijatuhkan.

Mereka diwajibkan menjalani kerja kemasyarakatan sekurang-kurangnya empat jam sehari sepanjang tempoh tersebut.

Dalam penghakimanya, Abu Bakar berkata, selepas meneliti latar belakang dan keperibadian tertuduh, mahkamah berpandangan hukuman penjara tidak sesuai serta mengambil kira peruntukan Seksyen 5(1) dan 5(1A) Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954 bagi menggantikan hukuman tersebut.

Beliau turut menegaskan, jika mana-mana tertuduh gagal mematuhi perintah PKW, hukuman penjara asal akan dikuatkuasakan semula.

Menurut fakta kes, dua tertuduh pertama didapati melakukan perbuatan liwat di Kampung Gangsa, Durian Tunggal pada 11 April lalu dan disabitkan mengikut Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ketiga-tiga mereka turut mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan melakukan liwat dengan cara meraba dan melakukan seks oral bersama di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor pada 27 Julai lalu di bawah Seksyen 57 enakmen sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,500 dan penjara 30 bulan bagi pertuduhan pertama terhadap Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil serta denda RM4,000 dan penjara 24 bulan bagi pertuduhan kedua terhadap ketiga-tiga tertuduh, dengan semua hukuman penjara diperintah berjalan serentak bermula Rabu.

Sekiranya gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Kes berkenaan turut mencatat sejarah apabila ia merupakan kes pendakwaan liwat pertama di Melaka yang dibicarakan dan diputuskan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Negeri Melaka, Radzwan Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Ringkasan AI

  • Tiga rakan didenda dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas kesalahan liwat dan cubaan liwat
  • Hukuman penjara mereka diubah kepada Perintah Kehadiran Wajib (PKW) masing-masing selama 10 bulan bagi dua tertuduh dan lapan bulan bagi seorang lagi
  • Mereka diwajibkan menjalani kerja kemasyarakatan empat jam sehari sepanjang tempoh PKW
  • Jika gagal mematuhi PKW, hukuman penjara asal akan dikuatkuasakan semula
  • Ia merupakan kes pendakwaan liwat pertama di Melaka dibicarakan dan diputuskan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!