Eksekutif bank didakwa terima suapan RM4,000

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas dua pertuduhan.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas dua pertuduhan.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang eksekutif bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Muqriz Ridzuan, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Muqriz yang bertugas di sebuah bank cawangan Gombak, didakwa menerima suapan wang tunai RM2,000 melalui pindahan dalam talian ke akaun bank miliknya daripada seorang individu pada 7 Ogos 2023.

Wang tersebut didakwa sebagai upah kerana membantu memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan di bank itu secara serentak dengan permohonan pinjaman di beberapa institusi kewangan lain hingga menyebabkan pinjaman pelanggan melebihi had kelayakan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama pada 21 September 2023, melibatkan jumlah dan individu yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan ke kadar minimum kerana jumlah suapan yang didakwa hanyalah RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika jumlah jaminan terlalu tinggi, ia seolah-olah menjadi satu bentuk hukuman awal sebelum anak guamnya dibuktikan bersalah.

“Dalam tempoh siasatan, tertuduh telah diberi jaminan RM5,000 oleh SPRM dan sepanjang tempoh tersebut beliau tidak pernah melanggar syarat jaminan dengan hadir melapor diri setiap bulan.

“Selain itu, walaupun jaminan itu telah dibatalkan oleh SPRM pada 21 Mei lalu, tertuduh tetap hadir di mahkamah, membuktikan komitmen beliau terhadap proses keadilan,” katanya.

Tambah beliau, tertuduh merupakan warganegara Malaysia dan menetap hanya beberapa minit dari lokasi mahkamah, justeru tidak menjadi masalah untuk hadir ke mahkamah pada bila-bila masa yang diperlukan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM7,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi, melapor diri di pejabat SPRM Seremban dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 November depan.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang eksekutif bank didakwa menerima suapan RM4,000 dua tahun lalu
  • Tertuduh, Ahmad Muqriz Ridzuan, 29 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban
  • Dituduh membantu memproses pinjaman melebihi had kelayakan dengan menerima suapan
  • Boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan
  • Jaminan ditetapkan RM7,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi dan melapor diri di pejabat SPRM Seremban

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!