Kehadiran Trump, ruang nyatakan pendirian rakyat dan kerajaan

SHAH ALAM - Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 boleh dinilai melalui dua sudut utama iaitu pendirian rakyat dan peluang kerajaan untuk menyatakan pendirian negara secara diplomatik.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, dari satu sudut, rakyat Malaysia perlu menyuarakan kepada Trump bahawa kehadiran beliau tidak diterima baik di negara ini, bukan hanya disebabkan isu Palestin tetapi juga dasar dan polisi yang memberi kesan kepada dunia.
Menurutnya, rakyat wajar menunjukkan ketidakpuasan terhadap dasar yang dianggap tidak selari dengan pendirian kemanusiaan, termasuk dengan mengadakan himpunan atau demonstrasi aman sebagai tanda bantahan.
"Walaupun dalam poster Against Trump Visit, terdapat logo MyCARE juga. Mungkin kita boleh lihat dari dua sudut, iaitu sudut pertama sebagai rakyat Malaysia, kita kena suarakan kepada Trump juga bahawa ia tidak begitu diterima di Malaysia bukan hanya isu Palestin tetapi juga isu lain.
"Bagaimanapun, dari sudut lain, kehadiran Trump juga boleh dijadikan peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan pendirian Malaysia secara terus dan berdepan.
“Mungkin sesuai juga untuk dia datang kerana ketika itu kerajaan boleh ambil peluang bagi menyuarakan terus pandangan dan pendirian Malaysia secara langsung," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui Sinar Harian selepas program Interviu Misi Flotilla, 'Mak Online' & Apa Selepas ini pada Rabu.
Menurutnya, Malaysia perlu konsisten menunjukkan pendirian tegas menolak polisi yang menindas rakyat Gaza dan Palestin, selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Kita kena tunjuk bahawa rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan polisi yang menindas. Pada masa sama, kedatangan Trump boleh dijadikan ruang untuk kerajaan menyampaikan mesej secara diplomatik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali berkata, Presiden AS itu dipercayai akan tetap datang ke Malaysia nanti.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kehadiran Trump digunakan sebaik-baiknya oleh Malaysia menyuarakan pendirian terhadap isu Palestin dan dasar luar AS.
“Pada pendapat saya, kita mestilah ambil peluang untuk menyatakan pandangan kita, kemarahan kita dan menyatakan sendiri pandangan tentang kenyataan beliau sebelum ini yang tidak wajar bagi seorang Presiden," ujarnya lagi.
"Jika kita tidak jumpa depan-depan pun kita boleh suarakan, dan saya rasa sebab beliau di sini, pihak-pihak kedutaan Amerika tentu akan menyampaikan kepada beliau apa yang dirasai oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Aktivis FFCxTMTG, Dr Fauziah Mohd Hasan, pemimpin negara diharap menyampaikan pendirian tegas dan berprinsip dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza serta menolak sebarang agenda luar yang menindas rakyat Palestin.
“Kami harap dia tidak merancang untuk menjadikan Riviera di Gaza. Kami harap ada pasukan yang mengawasi berdasarkan nasionaliti yang adil bagi rakyat Gaza,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Palestin sendiri perlu diberikan hak menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campur tangan kuasa luar sama ada Amerika Syarikat ataupun Israel.
Ringkasan AI
- Kehadiran Presiden AS, Donald Trump di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dilihat dari dua sudut utama, rakyat dan peluang diplomasi kerajaan
- Rakyat Malaysia perlu menyuarakan ketidakpuasan terhadap dasar Donald Trump yang tidak selaras dengan kemanusiaan melalui himpunan atau demonstrasi
- Keberadaan Trump di Malaysia adalah kesempatan bagi Perdana Menteri untuk menyampaikan pendirian Malaysia secara langsung dan berdepan
- Malaysia harus menunjukkan pendirian tegas menolak polisi yang menindas rakyat Gaza dan Palestin, selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat
- Kedatangan Trump digunakan sebagai peluang untuk menyuarakan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin dan dasar luar AS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

