Mayat warga emas terapung di tasik, polis sahkan tiada unsur jenayah

KUALA LUMPUR – Tiada unsur jenayah dikesan berhubung penemuan mayat seorang warga emas yang terapung di tasik Taman Tasik Danau Kota di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.06 pagi.
“Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun.
“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan tiada unsur jenayah.
Jelasnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, menerusi rakaman video orang awam, pengunjung kawasan rekreasi berkenaan dikejutkan dengan penemuan mayat yang terapung di tengah-tengah tasik.
Difahamkan, kerja-kerja mengangkat mayat keluar dari tasik berkenaan dijalankan oleh pihak bomba dan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
