Mayat wanita sudah reput dipercayai dibunuh ditemui dekat KLIA

SEPANG - Mayat seorang wanita dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan reput berhampiran kawasan Limo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 September lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 7.50 malam mengenai penemuan mayat berkenaan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mayat merupakan seorang wanita didapati masih berpakaian lengkap, memakai baju-T putih serta seluar kargo pendek berwarna krim.
"Keadaan mayat didapati telah mereput dengan bahagian kepala tidak sempurna dan hanya tinggal tengkorak.
"Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa disyaki telah meninggal dunia lebih kurang seminggu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, mayat berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Hasil bedah siasat oleh pakar patologi menemui empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa serta mayat berada dalam keadaan reput.
"Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.
Menurutnya, setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat.
"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dengan butiran sebagaimana dinyatakan atau mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil membantu siasatan.
"Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Deputi Superintenden Tee Ah Chew di talian 018-2183555," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

