Geng Richi sasar Wira, Satria dan Kancil tumpas

Abdul Latiff (dua kanan) menunjukkan barang yang dirampas daripada Geng Richi pada sidang akhbar di IPK Johor pada Rabu.
Abdul Latiff (dua kanan) menunjukkan barang yang dirampas daripada Geng Richi pada sidang akhbar di IPK Johor pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sindiket pecah rumah dan curi kereta yang menjadikan Proton Wira, Satria dan Perodua Kancil sebagai sasaran utama tumpas selepas polis menahan sembilan individu di sekitar Johor akhir bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 21 hingga 37 tahun ditahan dalam beberapa siri serbuan antara 21 hingga 28 September lalu.

Menurut beliau, sindiket yang dikenali sebagai ‘Geng Richi’ diketuai seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga bekas banduan. Suspek utama itu bertindak sebagai perancang dengan menentukan sasaran rumah atau kedai untuk dipecah masuk.

“Modus operandi mereka, selepas memecah masuk rumah atau kedai, kenderaan di premis berkenaan akan dilarikan dan digunakan pula untuk melakukan jenayah sama di lokasi lain.

Abdul Latiff menunjukkan kereta Perodua yang dirampas daripada Geng Richi.
Abdul Latiff menunjukkan kereta Perodua yang dirampas daripada Geng Richi.

“Tiga model kenderaan ini menjadi pilihan kerana kebiasaannya tidak dilengkapi ciri keselamatan tambahan seperti sistem penggera atau pengunci stereng,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Rabu.

Abdul Latiff berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2022 di sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Pontian, Kluang dan Batu Pahat.

“Lapan daripada sembilan suspek mempunyai rekod lampau dan pernah dipenjara atas kesalahan sama, namun mereka tidak serik dan menjadikan kegiatan ini sebagai sumber pendapatan,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan penahanan kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 32 kes iaitu 15 kes pecah kedai, lapan kes pecah rumah dan sembilan kes curi kenderaan melibatkan kerugian lebih RM100,000.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan melibatkan satu kes di Johor Bahru, enam (Iskandar Puteri), sembilan (Seri Alam), empat (Kulai), tiga (Batu Pahat), tiga (Pontian), lima (Kluang) dan satu (Muar).

“Kita juga sedang menyiasat kemungkinan pembabitan mereka dalam dua kes di Kemaman, Terengganu,” katanya.

Abdul Latiff memaklumkan, sebanyak 32 kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dan 18 kes telah mendapat arahan pertuduhan.

“Lapan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah; tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 379A/411 kerana curi atau memiliki harta curi secara tidak jujur; dua pertuduhan di bawah Seksyen 411 dan satu pertuduhan Seksyen 448 kerana menceroboh rumah,” jelasnya.

Salah seorang suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Kluang, manakala lima lagi akan dituduh hari ini di Mahkamah Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat.

Ringkasan AI

  • Sindiket pecah rumah dan curi kereta di Johor tumpas dengan penahanan sembilan individu
  • Sindiket dikenali sebagai 'Geng Richi', diketuai bekas banduan berusia 21 tahun
  • Mereka menyasarkan Proton Wira, Satria dan Perodua Kancil kerana mudah dicuri
  • Kegiatan sindiket aktif sejak 2022 meliputi beberapa daerah di Johor
  • Penahanan mereka membantu polis menyelesaikan 32 kes jenayah dengan kerugian melebihi RM100,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!