Geng pecah rumah sasar kediaman mewah tumpas, lima suspek ditahan

Azizee
Azizee
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan pecah rumah selepas menahan lima suspek termasuk seorang wanita pada Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mereka yang ditahan berusia 21 hingga 47 tahun selepas dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di kawasan perumahan Eco Meadows di Bukit Tambun.

Menurutnya, aktiviti jenayah kumpulan terbabit terbongkar selepas pengawal keselamatan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati terdapat dua orang lelaki dalam keadaan mencurigakan memasuki beberapa buah rumah di perumahan tersebut pada jam 3 pagi.

"Pengawal keselamatan terbabit kemudiannya segera ke balai polis bagi melaporkan kejadian itu.

"Dengan tindakan pantas oleh anggota dari Balai Polis Bukit Tambun berjaya menangkap seorang lelaki di salah sebuah rumah di perumahan terbabit sebelum menahan empat lagi suspek termasuk seorang wanita tidak lama kemudian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azizee berkata, hasil semakan dibuat mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Katanya, polis turut merampas dua buah kereta, tiga buah motosikal, lima buah telefon bimbit serta beberapa peralatan pecah rumah seperti pahat besi, sarung tangan, topeng muka, parang dan alat memecah tingkap dari kumpulan penjenayah berkenaan.

"Siasatan yang dilakukan mendedahkan kesemua suspek ini terlibat secara aktif dengan kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Seberang Perai sejak pertengahan tahun ini.

"Modus operandi kumpulan terbabit dengan menyasarkan rumah mewah dan berpagar keselamatan dengan bergerak secara berjalan kaki serta menggunakan alat pahat kecil untuk mengumpil pintu utama.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga akan memakai sarung tangan dan topeng muka bagi mengelak dikesan," tambahnya.

Sementara itu, Azizee berkata, dengan tertangkapnya kumpulan penjenayah ini pihak polis berjaya menyelesaikan 28 kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di tiga daerah di Seberang Perai yang melibatkan kerugian melebihi RM100,000.

ENDS.

Ringkasan AI

  • Polis Pulau Pinang menahan lima suspek termasuk seorang wanita untuk kes pecah rumah di Eco Meadows
  • Suspek berusia 21 hingga 47 tahun dan tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau
  • Aktiviti mereka terbongkar melalui rakaman CCTV yang menunjukkan dua lelaki mencurigakan
  • Polis rampas dua kereta, tiga motosikal, lima telefon bimbit, dan peralatan pecah rumah
  • Penangkapan ini menyebabkan penyelesaian 28 kes pecah rumah dengan kerugian melebihi RM100,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!