Covid-19: Satu kematian, 106 kes positif baharu hari ini

Sidang media Dr Noor Hisham hari ini.
Sidang media Dr Noor Hisham hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan satu kematian dan 106 kes baharu positif koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian terbaharu itu melibatkan lelaki tempatan yang disyaki mempunyai kontak dengan kes positif yang ke-703 semasa solat Jumaat.

"Pesakit yang merupakan kes ke-1519 mengalami gejala seminggu dan sesak nafas selama tiga hari," katanya.

Menurutnya, bantuan pernafasan diberikan dan dia disahkan meninggal dunia jam 5.35 pagi tadi.

"Pesakit berumur 71 tahun mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 106 kes positif dicatatkan setakat jam 12 tengah hari.

"Berdasarkan siasatan, daripada jumlah itu, 43 kes berkaitan dengan kluster tabligh manakala kementerian sedang mengenal pasti punca kluster kepada 63 yang lain," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) turut meningkat kepada 64 kes.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, sebanyak 24 kes telah pulih dan dibenar discaj, menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 183.

Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif dilaporkan sebanyak 1,624 kes.