Pekebun durian terjejas bencana terima bantuan

IPOH - Pekebun durian antara 42 petani di Perak menerima bantuan berjumlah hampir RM160,000 akibat kerosakan tanaman yang berpunca daripada bencana alam pada penghujung tahun lalu serta awal tahun ini.
Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, bantuan tersebut diberikan menerusi Tabung Bantuan Bencana dan Tabung Bencana Tanaman Padi yang disediakan kerajaan bagi meringankan beban petani.
Menurutnya, jumlah keseluruhan bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM159,976 melibatkan kawasan tanaman seluas 60.41 hektar dan kebanyakan penerima terdiri daripada petani tanaman durian yang terjejas akibat kejadian ribut sebelum ini.
"Kebanyakan petani terjejas akibat bencana ini telah pun menerima bantuan yang telah diluluskan di peringkat jabatan dan juga peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
"Saya sendiri berjumpa dengan beberapa petani yang mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diterima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kopi Tahun 2025 di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Sementara itu, Norsiyenti menasihatkan petani agar segera melaporkan sebarang kejadian bencana seperti banjir, ribut atau hujan lebat yang menjejaskan tanaman ke pejabat pertanian berhampiran untuk membolehkan siasatan serta permohonan bantuan diproses dengan segera.
"Kalau melibatkan tanaman makanan, datang ke Pejabat Pertanian berhampiran. Bagi kes ternakan atau perikanan, laporan boleh dibuat di Pejabat Veterinar atau Pejabat Perikanan.
"Laporan perlu disertakan dengan dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan di peringkat negeri sebelum dihantar ke kementerian,” jelasnya.
Norsiyenti turut mengingatkan petani agar sentiasa memantau keadaan kebun, ladang dan sawah memandangkan hujan kerap berlaku ketika ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman bagi tanaman selain padi diberikan sebanyak 50 peratus daripada nilai kerugian.
Beliau berkata, bagi petani yang berhadapan serangan haiwan liar seperti kera dan gajah pula boleh melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut dengan bantuan Jabatan Pertanian.
Ringkasan AI
- IPOH - Pekebun durian antara 42 petani di Perak menerima bantuan hampir RM160,000 akibat kerosakan tanaman dari bencana alam
- Bantuan disalurkan melalui Tabung Bantuan Bencana dan Tabung Bencana Tanaman Padi oleh kerajaan
- Jumlah bantuan disalurkan melibatkan kawasan tanaman seluas 60.41 hektar, kebanyakan kepada petani durian terjejas oleh ribut
- Petani disarankan melaporkan bencana alam ke pejabat pertanian berhampiran untuk proses siasatan dan permohonan bantuan
- Bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman untuk tanaman selain padi diberikan sebanyak 50% daripada nilai kerugian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

