Belanjawan 2026: Penerima STR turut terima bantuan SARA

KUALA LUMPUR - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) seramai sembilan juta orang turut menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun, bagi tahun 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manakala satu juta penerima STR di bawah e-Kasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM 2,400 setahun.
"Selain itu, bagi kategori bujang, mereka menerima RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA.
"Kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600 iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR sebanyak RM2,200 dan SARA RM2,400," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Belanjawan 2026: RM13 bilion diperuntuk untuk STR, SARA
KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini yang memanfaatkan hampir sembilan juta penerima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi STR, bayaran sehingga Fasa 3 telah dibuat bernilai RM6 bilion.
"Alhamdulillah, SARA bulanan diterima baik rakyat dengan kadar penggunaan mencecah 98 peratus.
"Ini kaedah bersasar yang memastikan SARA diguna untuk membeli barangan asas seperti makanan, ubat dan alat sekolah," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bayaran STR Fasa 4 2025 yang dijadualkan untuk bulan November dan bernilai RM2 bilion diawalkan serta akan disalurkan mulai 18 Oktober sempena perayaan Deepavali.
"Kerajaan juga bersetuju meluluskan diskaun tol 50 peratus untuk dua hari sempena perayaan Deepavali," katanya.
Tambah beliau, SARA juga membantu 8,400 premis termasuk 2,000 kedai runcit kecil.
Ujarnya, ia akan diperluas supaya lebih banyak kedai runcit kecil di desa dan kedai koperasi dilibatkan serta lebih banyak barang tempatan disenaraikan.
"Saya sempat meninjau pelaksanaan SARA di kedai runcit Baling, Kedah dan melihat sendiri produk tempatan seperti Kopi Cap Gantang dan Kicap Lembu Berlaga boleh dibeli melalui SARA," kata beliau.
Ringkasan AI
- Penerima Sumbangan Tunai Rahmah seramai sembilan juta orang menerima bantuan SARA sehingga RM100 setiap bulan untuk tahun 2026
- Satu juta penerima STR di bawah e-Kasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan
- Bagi kategori bujang, menerima RM600 melalui SARA setahun
- Kadar maksimum diterima oleh isi rumah adalah RM4,600 bagi pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan hal ini dalam Belanjawan 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
