Pengarah agensi Kerajaan Persekutuan di Kelantan bakal didakwa kes rasuah

KOTA BHARU - Seorang pengarah agensi Kerajaan Persekutuan di Kelantan bakal didakwa atas beberapa pertuduhan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, individu terbabit dipercayai melakukan kesalahan melibatkan tuntutan palsu, penyalahgunaan kuasa serta meminta dan menerima rasuah.
"Suspek merupakan seorang pengarah yang dijangka bersara tidak lama lagi.
"Siasatan telah selesai dan individu terbabit akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Persaraan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain.
Pada majlis tersebut, Rosli turut menyerahkan tugas kepada Pengarah SPRM Kelantan baharu, Azmin Yusuff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

