Penyokong Selangor FC disyaki terlibat insiden bakar suar disambung reman

Sembilan penyokong Selangor FC yang dipercayai terlibat dalam kejadian membakar suar di Jambatan Angkat pada Ahad lepas, disambung reman sehari lagi. Foto Bernama
Sembilan penyokong Selangor FC yang dipercayai terlibat dalam kejadian membakar suar di Jambatan Angkat pada Ahad lepas, disambung reman sehari lagi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sembilan penyokong Selangor FC yang dipercayai terlibat dalam kejadian membakar suar di Jambatan Angkat, di sini pada Ahad lepas, disambung reman sehari lagi.

Perintah reman hingga esok terhadap semua lelaki itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin. Pada Isnin lepas mereka direman tiga hari hingga hari ini.

Mereka direman bagi membantu siasatan kes yang dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin pada Isnin berkata, sebanyak 33 penyokong Selangor FC direman atas kesalahan memiliki dan positif dadah, selain mengganggu tugas penjawat awam berhubung kekecohan yang berlaku di Jambatan Angkat.

Kejadian kira-kira 6.30 petang Ahad itu berlaku beberapa jam sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

Semalam Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden tersebut.

Sebagai Penaung Selangor FC, baginda turut tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya penyokong Selangor FC.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, Sultan Selangor menitahkan pihak polis mencari dalang di sebalik insiden terbabit dan sekiranya didapati bersalah, mereka harus dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sembilan penyokong Selangor FC disambung reman sehari lagi kerana terlibat membakar suar di Jambatan Angkat
  • Majistret mengeluarkan perintah reman hingga esok untuk kesemua lelaki tersebut
  • Mereka direman untuk membantu siasatan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dan kerana menghalang tugas penjawat awam
  • Ketua Polis Terengganu menyatakan 33 penyokong Selangor FC direman atas kesalahan memiliki dadah dan mengganggu tugas penjawat awam
  • Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap insiden tersebut dan menitahkan polis mencari dalang insiden

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!