[VIDEO] 'Hanya fikir keselamatan mak yang lumpuh ketika air masuk rumah'
PONTIAN – “Saya hanya fikir tentang mak yang lumpuh separuh badan akibat strok ketika rumah kami dinaiki air pada pagi Ahad,"
Demikian kongsi Eminurulhidayah Tualu, 38, dari Kampung Parit Bugis Batu 6 Penerok selepas ibunya, Patimah Talib, 79, antara mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok

Menurutnya, air mula naik sekitar jam 8 pagi menyebabkan halaman rumah mereka yang terletak kira-kira 500 meter dari tali air berhampiran laut digenangi air.
“Air masuk dari arah dapur. Saya risau sebab mak yang lumpuh separuh badan sejak 12 tahun lalu. Sekitar jam 11.30 pagi, ibu dibawa keluar oleh anggota bomba.
"Mujur ada yang datang membantu termasuk ketua kampung memandangkan saya juga perlu menguruskan abang, Norhisham, 49, yang merupakan orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di PPS SK Penerok.

Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan melawat mangsa banjir di pps berkenaan.
Eminurulhidayah memberitahu suaminya, Shahdat Hamzah, 40, membawa Norhisham menaiki motosikal sebelum kembali ke rumah mengambil barangan penting termasuk lampin serta susu anak mereka yang berusia tiga tahun.
“Ini kali ketiga kami sekeluarga pindah ke PPS disebabkan banjir pada tahun ini.
"Paling tidak dapat dilupakan kami berpindah ke PPS seminggu sebelum Aidilfitri. Tiga hari kami di PPS SK Penerok ketika itu," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Penerok Mukim Air Masin, Mohd Daud Ismail berkata, hujan berterusan sejak malam Sabtu serta fenomena air pasang menyebabkan beberapa rumah penduduk dinaiki air.
Menurutnya, kawasan terlibat ialah Kampung Parit Bugis Batu 6 dan Jalan Makam.
Beliau berkata, walaupun cuaca cerah pada Isnin pagi, penduduk masih belum dibenarkan pulang ke rumah kerana cuaca tidak menentu selain air pasang berlaku pada sebelah pagi.
Setakat jam 12 tengah hari Isnin, bilangan mangsa banjir yang berlindung di PPS SK Penerok seramai 81 orang daripada 23 keluarga.
Ringkasan AI
- Eminurulhidayah Tualu dari Kampung Parit Bugis Batu 6 Penerok risau tentang ibunya yang lumpuh ketika rumah mereka dinaiki air
- Air mulai naik sekitar jam 8 pagi dekat rumah mereka yang terletak 500 meter dari tali air berhampiran laut
- Ibu Eminurulhidayah yang lumpuh separuh badan dibawa keluar oleh anggota bomba sekitar jam 11.30 pagi
- Merupakan kali ketiga keluarga tersebut pindah ke PPS disebabkan banjir pada tahun ini
- Bilangan mangsa banjir yang berlindung di PPS SK Penerok adalah seramai 81 orang daripada 23 keluarga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

