Kerajaan diminta tidak tergesa-gesa naikkan had umur media sosial

SHAH ALAM - Kerajaan dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa melaksanakan kenaikan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun dalam usaha membendung gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, perkara itu perlu dikaji dengan teliti kerana mengenakan sesuatu larangan berkenaan bukanlah satu penyelesaian terbaik.
"Bagaimana anda hendak menguatkuasakan larangan ini? Larangan adalah pilihan apabila sudah tiada lagi idea.
"Masalahnya bukan pada telefon pintar atau platform yang ada tetapi kegagalan kita menyediakan pendidikan moral dan digital," katanya menerusi hantaran di laman X pada Sabtu.
Menurut beliau, generasi kini dilahirkan di dunia yang dipenuhi peranti dan larangan tersebut diibaratkan seperti 'menyuruh ikan untuk tidak berenang'.
Tambahnya, pendekatan yang efektif adalah mendidik mereka mengenai penggunaan peranti yang betul dan bukannya mengenakan hukuman.
"Finland mengajar literasi media sejak usia tujuh tahun yang mana kanak-kanak belajar membezakan kebenaran dan kepalsuan serta baik dan buruk bukan melalui larangan tetapi melalui nilai-nilai.
"Singapura melancarkan 'Digital for Life', kerajaan, syarikat telekomunikasi, sekolah dan ibu bapa semua memainkan peranan. Mereka mengajar tanggungjawab, bukan timbulkan ketakutan dalam penggunaan teknologi," katanya.
Mohd Zaid berkata, Malaysia perlu mencontohi pendekatan negara lain dengan melancarkan program Literasi Digital Kebangsaan yang memfokuskan etika dan akhlak digital.
"Ajar etika dalam talian, empati dan cara menggunakan teknologi untuk membina akhlak, bukan memusnahkannya tetapi biarkan yang mengajar adalah mereka yang benar-benar berkelayakan.
"Kita boleh menggunakan teknologi untuk menguruskan penggunaan media sosial dengan menyediakan kad SIM pelajar, data percuma untuk pembelajaran dalam talian, bukan untuk hiburan tanpa had," katanya.
Sususlan itu katanya, satu sistem merit digital perlu diwujudkan untuk memberi ganjaran kepada pelajar yang menggunakan aplikasi pendidikan.
"Kerajaan mesti beralih daripada mentaliti larangan kepada keseimbangan dengan memberi ganjaran kepada penggunaan bertanggungjawab dan hadkan penyalahgunaan media sosial secara bijak.
"Anda tidak boleh menyelesaikan masalah era TikTok dengan dasar era papan hitam. Golongan 'baby boomer' yang memenuhi Kabinet tidak dapat memahami isu era digital," katanya.
Sehubungan itu beliau berpendapat, penyelesaian perlu dilakukan oleh oleh Gen Z kerana pendidikan digital bukan kemewahan sebaliknya ia adalah asas moral baharu zaman ini.
"Jika kita gagal mengajar generasi akan datang cara hidup dengan teknologi, kita bukan melindungi mereka tetapi kita menyebabkan kejatuhan mereka," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa isu kesihatan mental dan kemurungan tidak harus dijadikan alasan untuk pelaksanaan larangan sepenuhnya.
Ini kerana Mohd Zaid berkata, sesebuah negara yang melarang dan bukan mendidik akan sentiasa ketinggalan.
"Kemajuan tidak datang daripada pengharaman sebaliknya ia datang daripada kepercayaan, bimbingan dan keberanian untuk menyesuaikan diri.
"Penyelesaian tetap adalah menyediakan sokongan melalui pendekatan yang lebih prihatin oleh guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.
Justeru itu beliau berpendapat, masalah berkenaan tidak dapat dibendung sekiranya tiada perhatian dan berlaku pengabaian oleh kerajaan dan penjaga di sekolah.
Ringkasan AI
- Kerajaan dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun untuk membendung gejala sosial
- Mengenakan larangan bukan penyelesaian terbaik, lebih penting mendidik generasi muda mengenai penggunaan peranti dengan betul
- Finland dan Singapura sebagai contoh negara yang mengutamakan pendidikan literasi media dan digital daripada larangan
- Malaysia perlu melancarkan program Literasi Digital Kebangsaan yang menekankan etika dan akhlak digital
- Menyarankan sistem merit digital untuk memberi ganjaran kepada pelajar yang menggunakan aplikasi pendidikan dan teknologi secara bertanggungjawab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
