[VIDEO] Rumah terbakar menjelang Deepavali

A
A
A

PORT DICKSON - Kegembiraan menyambut Deepavali di rumah baharu bertukar duka buat sebuah keluarga di Jalan Mayung, Teluk Kemang, di sini, selepas kediaman yang baru diduduki dua tahun lalu musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu.

Mangsa, R Gobinath, 25, berkata, rumah tersebut hangus dijilat api dalam kejadian sekitar jam 11 malam ketika dia keluar bekerja, manakala ibu bapanya berada di Cyberjaya untuk mengambil adiknya dari kolej.

“Saya kerja malam tu. Masa keluar rehat dalam jam 12.30 tengah malam, saya tengok telefon, ada panggilan tak dijawab. Bila saya telefon semula, baru tahu rumah terbakar.

“Api bermula dari bilik berhampiran dapur sebelum marak ke ruang tamu dan siling rumah, memusnahkan hampir keseluruhan kediaman,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Lebih menyedihkan, katanya, segala persiapan Deepavali yang telah siap 80 peratus turut musnah dalam kejadian itu.

Gobinath menunjukkan kabinet TV dan ruang tamu rumahnya musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu.
Gobinath menunjukkan kabinet TV dan ruang tamu rumahnya musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu.

“Segala baju baharu yang mahu dipakai masa Deepavali terbakar. Kabinet televisyen yang baru dibeli dua hari sebelum kejadian pun musnah.

“Kami baru duduk dua tahun. Boleh dikatakan hampir semua perkakasan rumah masih baharu. Kabinet dapur set lengkap juga terjejas teruk,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia dan tiga adik-beradik tinggal di rumah tersebut bersama ibu bapa mereka, manakala seorang lagi abangnya menetap di Johor Bahru.

Menurut Gobinath, tahun ini sepatutnya menjadi detik istimewa buat keluarga mereka selepas berhabis wang untuk menghias dan melengkapkan rumah sempena sambutan Deepavali.

“Mak dah siap buat muruku, tinggal beberapa jenis kuih sahaja lagi. Tapi semua jadi sia-sia. Sambutan tahun ni ala kadar sahaja, di rumah sewa. Memang tak ada semangat nak sambut.

“Walaupun dilanda musibah, kami tetap bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera. Kami bernasib baik kerana tiada sesiapa berada di rumah ketika kejadian,” tambahnya.

Pada Sabtu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, turut hadir melawat rumah mangsa dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga serta persiapan Deepavali.

Ringkasan AI

  • Kegembiraan menyambut Deepavali bertukar duka apabila rumah sebuah keluarga di Port Dickson musnah terbakar
  • Rumah tersebut hangus ketika pemiliknya, R Gobinath, keluar bekerja dan ibu bapanya tiada di rumah
  • Kebakaran bermula dari bilik berhampiran dapur dan memusnahkan hampir keseluruhan kediaman
  • Segala persiapan Deepavali termasuk baju baharu dan perabot musnah dalam kejadian itu
  • Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, melawat rumah mangsa dan menyampaikan sumbangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!