[VIDEO] 'Perbuatan suspek terlalu kejam, lebih teruk daripada binatang' - Abang mangsa bunuh

A
A
A

SEBERANG JAYA - “Saya tak boleh terima perbuatan suspek. Cara pembunuhan itu terlalu kejam, lebih teruk daripada binatang.”

Itu luahan Bismi Che Hin, 60, abang kepada mangsa bunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa, Suraya Che Hin, 51, merupakan adik bongsu daripada enam beradik dan seorang yang peramah serta disenangi ramai.

“Dia seorang periang, peramah, tapi saya tak tahu kalau dia ada masalah lain.

“Dia pernah jadi guru tadika, memang penyayang orangnya. Anak kandung dia seorang, tapi dia ada dua anak angkat dan yang meninggal dunia ini merupakan anak angkat yang dijaga sejak kecil lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini pada Ahad.

Menceritakan semula kejadian menyayat hati itu, Bismi berkata, beliau mengetahui mengenai insiden tersebut sekitar jam 7 malam daripada anak mangsa.

“Saya tahu kejadian dalam jam 7 malam daripada anak dia. Tapi saya tak pasti, jadi saya telefon besan saya untuk sahkan.

“Bila besan saya cakap betul, saya terus bergegas ke sana,” katanya.

Bagaimanapun, Bismi berkata, beliau tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian dan hanya mendapat maklumat daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kita pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Macam-macam cerita disebarkan.

“Kali terakhir saya bertemu arwah ialah ketika majlis perkahwinan anaknya iaitu anak kepada suami pertama,” tambahnya.

Mengenai perkahwinan adiknya dengan suami kedua, Bismi mengakui tidak mengetahui banyak latar belakang lelaki berkenaan.

“Saya pun tak tahu... dengar-dengar dah kahwin. Saya pun tak pernah bersembang dengan suaminya yang ini.

“Tapi mereka kahwin tak sampai lima tahun,” katanya.

Beliau yang masih terkejut dengan kejadian itu turut memohon agar pihak polis menjalankan siasatan terperinci serta menjatuhkan hukuman setimpal terhadap suspek.

Beliau berharap polis dapat memberikan keadilan kepada adiknya dan anak saudara yang dibunuh dengan kejam.

Difahamkan, jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid, Jeniri selepas selesai proses bedah siasat dijalankan.

Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita berusia 51 tahun bersama anak perempuannya berusia 11 tahun ditemukan suaminya pada jam 7.30 malam di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, di sini.

Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus, manakala anaknya ditemukan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.

Ringkasan AI

  • Abang kepada mangsa bunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru nyatakan perbuatan suspek terlalu kejam
  • Mangsa adalah adik bongsu yang peramah, pernah menjadi guru tadika dan mempunyai seorang anak kandung serta dua anak angkat
  • Kejadian diketahui keluarga sekitar jam 7 malam melalui anak mangsa
  • Bismi tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian dan mendapat maklumat dari orang ramai sahaja
  • Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid, Jeniri selepas proses bedah siasat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!