Tiga lelaki ditahan kes gaduh di Pasir Panjang

No Image Caption
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes pergaduhan selepas terbabit dalam satu kemalangan di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, di sini pada Isnin.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden melibatkan dua buah kenderaan itu kira-kira jam 5 petang.

​Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Skoda yang dipandu seorang wanita.

​"Susulan kejadian itu, suami pemandu wanita terbabit yang berusia 62 tahun dan merupakan penumpang kenderaan berkenaan telah keluar untuk memeriksa keadaan kereta mereka.

​"Bagaimanapun, mangsa diserang secara agresif oleh individu yang berada di dalam Perodua Alza terbabit menggunakan tumbukan, siku dan tendangan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

​Beliau berkata, serangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, hidung dan mulut sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

​Jelasnya, sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Terengganu berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia antara 39 hingga 44 tahun.

​"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Rabu (25 November) bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.

​"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

​Dalam pada itu, Azli menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk keganasan dan tindakan agresif di jalan raya serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengancam ketenteraman awam.

​"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bertolak ansur, berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya serta tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berlaku sebarang perselisihan faham atau kemalangan.

​"Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan secara baik atau diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial hantaran seorang lelaki meminta bantuan orang ramai bagi mengesan individu yang didakwa memukul bapanya selepas terbabit dalam kemalangan di Pasir Panjang.

​Menerusi rakaman video yang dikongsikan pengguna Facebook, Daniel Haiqal, memaparkan seorang lelaki memakai jaket dan topi hitam memegang bahu bapanya di tepi jalan dalam keadaan cuaca hujan sebelum bertindak menyiku muka mangsa sehingga terjatuh ke belakang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!