Laksana segera pelan keselamatan sekolah sebagai penghormatan buat mendiang Shing Xuen

Jamaliah Jamaluddin
Jamaliah Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa melaksanakan segera pelan tindakan keselamatan murid di sekolah sebagai penghormatan terbaik buat mendiang Yap Shing Xuen, 16, dan mangsa-mangsa lain yang pernah menjadi korban keganasan.

Insiden tragis yang menimpa pelajar sekolah menengah kebangsaan itu bukan sekadar tragedi kehilangan nyawa seorang pelajar berpotensi, malah mencerminkan kegagalan kolektif masyarakat dalam mencegah jenayah sebegitu daripada berlaku.

Langkah memperkukuh keselamatan pelajar turut menjadi tumpuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan beberapa inisiatif segera termasuk menempatkan anggota polis di sekolah, melaksanakan pemeriksaan mengejut secara rawak serta menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan tepat serta mendesak dalam menangani isu keselamatan murid yang semakin membimbangkan.

“Sekiranya kita masih mahu memulakan dengan soal selidik, kajian atau garis panduan, ini semestinya menimbulkan kegusaran. Langkah drastik perlu dilaksanakan pada saat ini juga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jamaliah, cadangan menaikkan umur pengguna media sosial kepada 16 tahun perlu dikuatkuasakan melalui pendaftaran rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID bagi memastikan kawalan yang lebih ketat.

Beliau turut menyarankan agar sistem itu diperkasa dengan ciri keselamatan tambahan seperti penggunaan pas kod sekali guna (OTP) bagi mengelakkan remaja di bawah umur memberikan maklumat palsu.

“Larangan penggunaan media sosial terhadap remaja bawah 16 tahun amat mustahak kerana pelbagai jenayah kini berpunca daripada kandungan tidak sesuai, termasuk yang mendorong kepada kes buli, keganasan dan kematian,” jelasnya.

Jamaliah turut menegaskan bahawa kandungan negatif dalam media sosial sering memberi kesan kepada kesihatan mental remaja. Negara seperti Australia, katanya, telah meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Had Umur Minimum Media Sosial) 2024 bagi mengehadkan akses kepada individu bawah 16 tahun, manakala Singapura sedang meneliti langkah sama.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah masa yang sesuai untuk Malaysia melaksanakan cadangan itu supaya kita dapat membendung isu sosial lain dari peringkat awal,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri Selangor kini sedang merangka modul Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang menumpukan kepada elemen pencegahan buli, pendidikan emosi dan intervensi awal kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah.

Jamaliah berkata fokus semua pihak kini perlu tertumpu kepada pelaksanaan cadangan-cadangan yang telah diumumkan oleh kerajaan, bukan mencari kesalahan mana-mana pihak.

“Kita perlu memberikan komen dan maklum balas secara konstruktif dan membina, bukan sekadar mengkritik atau mencari kambing hitam,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan segera pelan tindakan itu merupakan penghormatan terbaik buat mendiang Yap Shing Xuen dan mangsa-mangsa lain agar tragedi sama tidak berulang.

“Setiap murid berhak berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, sejahtera dan menyokong perkembangan mental serta emosi mereka,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan digesa melaksanakan pelan tindakan keselamatan murid di sekolah sebagai penghargaan kepada mendiang Yap Shing Xuen
  • Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi mengumumkan inisiatif keselamatan termasuk penempatan polis di sekolah
  • Cadangan menaikkan umur pengguna media sosial kepada 16 tahun sebagai langkah keamanan
  • Modul Selangor Mental Sihat (SEHAT) dirangka untuk pencegahan buli dan pendidikan kesihatan mental
  • Pelaksanaan cadangan tersebut dilihat sebagai penghormatan terhadap mangsa tragedi dan pembentukan persekitaran pembelajaran yang selamat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!