Hak 40 peratus Sabah: Jangan tambah luka lama dengan teruskan rayuan - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU – UMNO Sabah tidak akan berdiam diri sekiranya Peguam Negara meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi jelas mengiktiraf hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang tindakan untuk mencabar keputusan itu hanya akan menggores perasaan rakyat negeri ini.

“UMNO Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan ini adalah kemenangan besar bagi rakyat Sabah setelah hak ini dinafikan sejak tahun 1974,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, Peguam Negara sepatutnya menghormati keputusan tersebut dan tidak menambah luka lama dengan meneruskan rayuan, sebaliknya menumpukan kepada pelaksanaan keputusan itu secepat mungkin.

“Rayuan seperti itu hanya akan menjejaskan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Sabah,” katanya.

Bung Moktar turut menegaskan bahawa jika rayuan diteruskan, UMNO Sabah akan mendesak ahli-ahli Parlimen parti itu untuk membawa usul bantahan kepada Perdana Menteri bagi memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan tanpa sebarang alasan.

Selain itu, beliau menggesa supaya penaksir bebas dilantik segera bagi menentukan jumlah sebenar hasil tertunggak sejak 1974 agar pengiraan dan pembayaran dibuat secara adil dan telus, selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, UMNO Sabah turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) atas keberanian dan ketekunan mereka membawa kes ini ke mahkamah walaupun berdepan tekanan politik.

“Tindakan SLS membuktikan bahawa perjuangan menegakkan hak Sabah tidak boleh dikompromi,” ujarnya.

Dalam masa sama, Bung Moktar menzahirkan kekecewaan terhadap campur tangan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG) di Mahkamah Rayuan sebelum ini, yang menurutnya bertentangan dengan tuntutan rakyat Sabah.

“Adalah amat mengecewakan apabila peguam yang dilantik kerajaan negeri ketika itu berhujah bahawa hak 40 peratus ini hanyalah ‘aspirasi’ rakyat dan bukan kewajipan perlembagaan yang mengikat.

“Kenyataan yang jelas bercanggah dengan semangat MA63 ini telah mencetuskan kemarahan besar rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun hujah tersebut akhirnya ditarik balik selepas menerima tekanan awam, insiden itu menjadi bukti bahawa usaha mempertahankan hak perlembagaan Sabah masih rapuh dan memerlukan pendirian yang lebih tegas daripada kepimpinan negeri.

Katanya, rakyat Sabah sudah lama bersabar dan kini tiba masanya mereka bersatu menuntut hak yang telah dijanjikan.

“Hak ini bukan hadiah tetapi janji perlembagaan yang mesti ditunaikan. Sabah tidak meminta lebih, kita hanya menuntut apa yang telah dijanjikan,” katanya.

Ringkasan AI

  • UMNO Sabah akan bertindak sekiranya Peguam Negara teruskan rayuan terhadap hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan
  • Keputusan Mahkamah Tinggi mengiktiraf hak Sabah atas hasil tersebut sebagai satu kemenangan besar
  • Diingatkan Peguam Negara agar menghormati dan melaksanakan keputusan tanpa menunda
  • Bung Moktar Radin mendesak penaksir bebas dilantik untuk menentukan jumlah hasil tertunggak sejak 1974
  • UMNO Sabah mengapresiasi Persatuan Undang-undang Sabah atas perjuangannya menegakkan hak Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!