Pendaki hilang di Gunung Liang: Mustaqqeem dijumpai seperti tidur kesejukan - Bomba

Laporan Sinar Harian berhubung pendaki hilang di Gunung Liang dua hari lepas ditemukan maut.
Laporan Sinar Harian berhubung pendaki hilang di Gunung Liang dua hari lepas ditemukan maut.
A
A
A

IPOH – Seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim pada Khamis dipercayai ditinggalkan berseorangan selepas malim gunung yang menemaninya turun untuk mendapatkan bantuan.

Pegawai Zon 4 Tapah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Marazman Mohamad, 38, yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring mengiring seolah-olah sedang tidur dengan sedikit kesan darah pada hidung.

Menurutnya, semua barangan peribadi mangsa termasuk dompet, telefon bimbit, beg tidur dan bekalan makanan tidak terusik, namun botol air didapati kosong sepenuhnya.

"Kalau tengok kepada keadaan mangsa, ia seperti kesejukan dan ada sedikit pendarahan pada hidung yang mungkin disebabkan udara sejuk, biasanya dikaitkan dengan hipotermia.

"Mangsa juga tidak gunakan beg tidur yang dibawanya walaupun suhu di puncak sangat rendah. Ini menunjukkan dia mungkin hilang pertimbangan untuk berfikir disebabkan kesejukan melampau,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Marazman berkata, difahamkan mangsa pada awalnya mengadu sakit kaki ketika mendaki dan ditemani seorang malim gunung daripada kumpulan sama.

Bagaimanapun katanya, malim tersebut dikatakan meninggalkan mangsa berseorangan selepas turun ke kaki gunung untuk mendapatkan bantuan.

"Saya difahamkan kumpulan pendakian itu disertai 11 orang yang dibimbing dua malim gunung. Seorang lagi malim membawa turun peserta lain manakala seorang lagi menemani mangsa yang cedera.

"Namun malim yang bersama mangsa turun semula untuk cari bantuan meninggalkan arwah sendirian di puncak,” katanya yang juga Malim Gunung Perhutanan (MGP) berdaftar dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk).

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan, terdapat cubaan awal oleh malim gunung serta penganjur ekspedisi dari Johor untuk mencari mangsa sendiri tanpa membabitkan pihak berkuasa sebelum pasukan SAR rasmi digerakkan.

Mengulas mengenai operasi menyelamat, Marazman berkata, pendakian dari Empangan Sungai Dara, Behrang ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira lapan jam melalui trek sejauh 12 kilometer yang sangat mencabar.

"Keadaan licin, berbatu dan banyak gaung kiri kanan menjadikan laluan itu sukar, apatah lagi ketika hujan.

"Gunung berketinggian 1,933 meter dari aras laut itu bukan untuk pendaki biasa,” jelasnya.

Beliau menambah, telefon bimbit mangsa turut dijumpai bersama mayatnya, namun tiada liputan rangkaian komunikasi di kawasan puncak berkenaan.

Media melaporkan, mangsa dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang selepas tidak turun bersama kumpulan pendaki pada Selasa lalu.

Menurut laporan, rakan-rakan terakhir melihat mangsa di puncak Gunung Liang Barat jam 10.30 malam dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada Khamis melibatkan 43 anggota pelbagai agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan Perak.

 

 

Ringkasan AI

  • Mustaqqeem Mansoor, 34, meninggal dunia di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim ditinggalkan seorang diri setelah malim gunung turun mencari bantuan
  • Mangsa ditemukan dalam keadaan mengiring dengan kesan darah pada hidung, dipercayai kesejukan dan hipotermia
  • Barangan peribadi tidak terusik, tapi botol air kosong menunjukkan kemungkinan mangsa mengalami dehidrasi
  • Diketahui mangsa mengadu sakit kaki sebelum ditinggalkan, kumpulan pendakian terdiri dari 11 orang dengan dua malim gunung
  • Operasi SAR melibatkan 43 anggota dari pelbagai agensi, trek pendakian ke lokasi kejadian sangat mencabar dan memakan masa lapan jam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!