Subjek integriti pelaburan minda selamatkan negara 20 tahun akan datang

Usaha membanteras rasuah perlu difokuskan kepada pembinaan ekosistem antirasuah berteraskan pencegahan agar perubahan dapat berlaku secara menyeluruh. Foto hiasan (Gambar kecil: Nor Halmey)
Usaha membanteras rasuah perlu difokuskan kepada pembinaan ekosistem antirasuah berteraskan pencegahan agar perubahan dapat berlaku secara menyeluruh. Foto hiasan (Gambar kecil: Nor Halmey)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu berani mewujudkan subjek integriti sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan arus perdana.

Pengerusi #RasuahBusters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, subjek integriti bukan sekadar topik moral tambahan tetapi pelan jangka panjang membentuk bangsa berprinsip bagi menyelamatkan negara pada masa 20 tahun akan datang.

"Hidup perlu jujur walaupun tiada siapa melihat, amanah walaupun tiada ganjaran dan berani menolak rasuah walaupun digoda dengan kuasa dan wang.

"Rasuah tidak hanya berlaku kerana undang-undang lemah, tetapi kerana sistem nilai semakin longgar. Hukuman dan penguatkuasaan perlu namun ia hanya rawatan kepada penyakit yang sudah merebak. Pencegahan sebenar mesti bermula dari akar melalui pendidikan integriti sejak di bangku sekolah," katanya.

Tambah Nor Halmey yang juga Felo Penyelidik di Institut Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), pengajaran integriti mesti disampaikan secara praktikal dan kontekstual.

"Ia boleh dimulakan dengan memperkenalkan kisah-kisah tokoh berintegriti tinggi dari pelbagai latar bangsa, agama dan bidang yang menjadi contoh nyata bahawa hidup berprinsip itu bukan sahaja mulia, tetapi juga realistik dan dicapai.

"Selain itu, simulasi dilema moral boleh digunakan dalam bilik darjah bagi melatih pelajar berfikir secara etika. Mereka harus diajar bahawa keputusan yang betul tidak selalunya mudah, tetapi keberanian memilih yang benar adalah kunci integriti sejati. Ini bukan latihan akademik semata-mata, tetapi persiapan membina karakter," ujarnya.

Katanya, lawatan pembelajaran ke institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi-agensi awam berintegriti tinggi pula boleh membuka mata pelajar terhadap cabaran sebenar dalam memelihara integriti dalam sistem pentadbiran negara.

Menurutnya, lebih penting pelajar juga harus didedahkan kepada projek komuniti berasaskan amanah dan tanggungjawab sosial.

Artikel Berkaitan:

"Di sinilah mereka boleh melihat bahawa perjuangan menentang rasuah bukan mitos tetapi ia memerlukan kesungguhan, pengorbanan dan keberanian.

"Aktiviti seumpama ini bukan sahaja mengajar nilai secara langsung tetapi membiasakan mereka dengan tindakan berintegriti dalam kehidupan harian — menjaga barang amanah, mengurus sumber secara telus dan menepati janji terhadap komuniti," katanya.

Ujar beliau lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar bekerjasama dengan SPRM dan institusi akademik untuk menggubal kurikulum integriti berstruktur bagi setiap sekolah menjadi zon sifar rasuah, guru sebagai model integriti dan pelajar memahami kejujuran ialah kekuatan sebenar seorang insan.

"Jika kita mahu melihat Malaysia yang bersih, adil dan dihormati dunia pada tahun 2045, perjuangan itu mesti bermula sekarang di bilik darjah, di buku teks dan di hati anak-anak kita. Integriti bukan sekadar subjek, tetapi jiwa kepada masa depan Malaysia," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan perlu memasukkan subjek integriti dalam sistem pendidikan arus perdana
  • Subjek integriti dianggap sebagai pelan jangka panjang untuk membentuk bangsa berprinsip dan menyelamatkan negara
  • Pengajaran integriti harus disampaikan secara praktikal dan kontekstual termasuk memperkenalkan kisah tokoh berintegriti dan simulasi dilema moral
  • Lawatan pembelajaran ke institusi seperti SPRM dan projek komuniti dapat meningkatkan kesedaran dan amalan integriti di kalangan pelajar
  • Kementerian Pendidikan Malaysia hendaklah bekerjasama dengan SPRM untuk menggubal kurikulum integriti bagi membentuk sekolah zon sifar rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!