Krisis Covid-19: Ranhill sumbang RM1 juta

Mustaza (kiri) menyerahkan cek RM1 juta yang merupakan sumbangan Kumpulan Ranhill untuk Tabung Covid-19 Johor kepada Hasni di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Johor semalam.
Mustaza (kiri) menyerahkan cek RM1 juta yang merupakan sumbangan Kumpulan Ranhill untuk Tabung Covid-19 Johor kepada Hasni di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Johor semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kumpulan Ranhill menyumbangkan RM1 juta sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu kerajaan mencegah penularan wabak koronavius (Covid-19) di negeri ini.

Cek sumbangan RM1 juta itu disampaikan Ketua Pegawai Korporat Ranhill, Datuk Ir Mustaza Salim kepada Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini semalam.

Menurut Mustaza, sumbangan berkenaan termasuk insentif lain yang diberikan sebagai sebahagian CSR Kumpulan Ranhill untuk bersama-sama membantu masyarakat dan menyokong usaha kerajaan membasmi wabak itu.

"Kami berharap agar sumbangan ini akan dapat membantu lebih ramai orang yang mungkin memerlukan.

"Perniagaan utama Kumpulan Ranhill adalah di Johor, maka ini bertepatan untuk kami menyalurkan sumbangan untuk Tabung Covid-19 Johor sekali gus membolehkan kami membantu untuk kesejahteraan rakyat Johor khususnya," kata Mustaza dalam satu kenyataan.

Antara perniagaan terbesar konglomerat itu adalah menerusi anak syarikat utamanya, Ranhill SAJ Sdn Bhd yang merupakan syarikat pembekal air bersepadu mengagihkan air terawat kepada 3.7 juta penduduk serta industri di seluruh Johor.

Mustaza berkata, walaupun perniagaan juga tidak terkecuali terjejas dengan wabak global itu, pihaknya tetap akan berdiri teguh bersama-sama rakyat dalam mendepani dugaan bagi menempuh dan mengatasi kesukaran itu.

Beliau juga berterima kasih kepada semua doktor, jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan yang berada di barisan hadapan dalam 'pertarungan' menentang wabak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menghargai sumbangan mereka, beliau berkata, Ranhill SAJ memberikan sumbangan air minuman, air mineral, air tenaga, kudapan dan mi segera kepada semua kakitangan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Tambah beliau, pihaknya berbesar hati dan sedia menghulurkan sumbangan untuk hospital-hospital di luar daerah Johor Bahru.

Dalam pada itu beliau berkata, semua perkhidmatan melalui kaunter Ranhill SAJ dihentikan untuk sementara waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan dari 18 hingga 31 Mac ini.

Katanya, pelanggan yang memerlukan nasihat, bantuan atau sebarang urusan boleh menghubungi Ranhill SAJ melalui customer.care@ranhill.com.my.