Trump jadi 'perisai' Netanyahu

SHAH ALAM - Rantau Asia Barat yang dahulunya sinonim dengan peperangan membuka lembaran baharu dalam sejarah diplomatiknya selepas dibelenggu konflik dan situasi tidak menentu.
Dalam tempoh singkat, Israel dan Hamas akhirnya bersetuju dengan pelan damai yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan perang genosid yang berlarutan selama dua tahun di Gaza.
Trump kini mampu tersenyum lebar atas kejayaannya sebagai ‘pengaman global’, sekali gus menjadikan pelan damai yang masih belum pasti kesudahannya sebagai bukti kebijaksanaan politik beliau meskipun pemimpin itu terus dihujani kecaman kerana didakwa cuba menunggang isu Gaza untuk kepentingan peribadi.
Ibarat ada udang di sebalik batu, inisiatif tersebut sebenarnya hanya wayang untuk ‘menyelamatkan’ Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memandangkan pelan damai 20 perkara itu secara jelas berat sebelah.
Ia sengaja direka dengan ruang tafsiran yang kabur bagi membolehkan Netanyahu menentukan situasi mengikut kepentingannya.

Sebelum ini, pemimpin ‘ekstremis’ itu bermati-matian enggan menamatkan perang di Gaza, namun pendirian tersebut berubah setelah pertemuan dengan Trump ketika kunjungannya ke Rumah Putih, baru-baru ini.
Netanyahu yang berdepan tekanan hebat di Tel Aviv dan kutukan komuniti antarabangsa perlu akur dengan ‘skrip pelan damai’ Trump untuk memulihkan semula imejnya serta kempen pengasingan global yang kian meningkat.
Trump tampil sebagai ‘penyelamat’ sekutu kuatnya itu yang secara tidak langsung memberi talian hayat politik kepada Netanyahu yang turut terpalit kes rasuah, penipuan dan salah guna kuasa sejak 2019.
Kebanyakan pengkritik percaya agenda dikemukakan Trump bukan semata-mata pelan damai, tetapi ‘jalan keluar terhormat’ buat Netanyahu untuk menukar naratif kegagalan operasi ketenteraan Zionis dan meredakan kemarahan sekutu Barat terhadap Israel.
Pemimpin Parti Likud itu yang terkenal dengan sikap keras kepala mengambil peluang untuk memulihkan reputasinya di pentas geopolitik bergolak atas bantuan Trump yang memanfaatkan pengaruhnya.
Terus jadi boneka AS
Sejak Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, Netanyahu sentiasa mengikut telunjuk Presiden ke-47 AS itu.
Tindakannya yang jadi pak turut Trump memperlihatkan hubungan dua hala yang lebih berpaksikan kepentingan peribadi berbanding keseimbangan diplomatik.
Pengaruh Trump yang kuat menjadikan Netanyahu bukan lagi sekutu seimbang sebaliknya boneka AS yang berterusan tunduk kepada kehendak Washington walaupun berdepan tentangan sekutu sayap kanan di bawah kerajaan gabungannya yang goyah.
Pada awal bulan lalu, Netanyahu dijadikan ‘alat politik’ Trump apabila dipaksa memohon maaf yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada Qatar atas insiden serangan yang dilancarkan untuk menyasarkan pemimpin Hamas pada 9 September lalu.
Ungkapan rasa kesal itu disertakan visual panggilan memalukan dari Pejabat Oval yang dikongsi di media sosial untuk tatapan dunia.
Selain diplomasi Gaza, Trump juga menyuarakan sokongan terbuka terhadap Netanyahu dalam kes rasuahnya dan cuba campur tangan apabila meminta pengampunan diberikan kepada pemimpin veteran tersebut.
Tindakannya yang menjadi ‘perisai Netanyahu’ seakan-akan mempertikaikan kredibiliti proses perundangan Israel dan cuba menutup kes jenayah rakan sekongkolnya.
Bagi Trump, langkah menamatkan perang akan mengendurkan sementara kritikan komuniti antarabangsa dan komuniti Israel yang menuntut pengundurannya.
Perjanjian gencatan senjata itu dilihat sebagai taruhan popular yang membolehkan Netanyahu kekal berkuasa buat masa ini hingga pilihan raya pada tahun depan.
Trump pula terus bermegah dengan pujian banyak pihak terhadap komitmen beliau untuk membawa keamanan di Asia Barat yang pada dasarnya gagal menyentuh punca sebenar konflik Palestin-Israel.
Bilionair hartanah sarat kontroversi itu kembali menarik nafas lega kerana berhasil mengembalikan keyakinan ramai terhadap Israel menggunakan rangka perdamaian yang sebenarnya bakal membuka ruang dominasi baharu Washington di Asia Barat.
Di sebalik sorakan diplomasi AS, banyak pihak masih ragu-ragu terhadap keberkesanan pelan damai tersebut.
Realitinya, nasib lebih dua juta penduduk Gaza masih kabur dan tersepit antara harapan yang pudar serta masa depan tidak pasti.
Ringkasan AI
- Rantau Asia Barat membuka lembaran baharu dalam sejarah diplomatik selepas era konflik
- Israel dan Hamas bersetuju dengan pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden AS, Trump, untuk menghentikan perang di Gaza
- Pelan damai ini dianggap berat sebelah dan bertujuan untuk menyelamatkan Perdana Menteri Israel, Netanyahu, dari tekanan politik dan kutukan internasional
- Netanyahu mengikuti arahan Trump dan bertindak sebagai boneka AS dalam upaya memulihkan imej politiknya
- Perjanjian gencatan senjata dianggap sebagai strategi untuk membolehkan Netanyahu kekal berkuasa dan tidak menyentuh punca konflik Palestin-Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

