Pengecualian levi pendidikan swasta buka lembaran baharu

Sebanyak 1,668 institusi dijangka mendapat manfaat dengan anggaran pengecualian bernilai RM46 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026. Gambar hiasan
Sebanyak 1,668 institusi dijangka mendapat manfaat dengan anggaran pengecualian bernilai RM46 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026. Gambar hiasan
A
A
A

PENGUMUMAN kerajaan yang mengecualikan pembayaran levi pendidikan selama setahun kepada semua institusi pendidikan dan latihan swasta bermula 1 Januari 2026 dilihat seperti membuka satu lembaran baharu dalam landskap pendidikan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian tersebut merupakan kali pertama dalam sejarah pentadbiran kerajaan sebagai usaha meningkatkan mutu pendidikan dan latihan kemahiran di peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah, institusi pendidikan vokasional, institusi pendidikan tinggi (IPT) swasta dan institut latihan.

Kata Anwar, keputusan itu bukan bertujuan meraih populariti, tetapi sebagai pelaburan kepada masa depan pendidikan demi melahirkan tenaga kerja berdaya saing dan beretika.

Sebanyak 1,668 institusi dijangka mendapat manfaat dengan anggaran pengecualian bernilai RM46 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026.

Langkah tersebut dilihat mempunyai potensi besar yang boleh mengubah wajah pendidikan swasta negara.

Institusi swasta, terutamanya kolej latihan vokasional dan institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) kecil, sering kali terperangkap dalam kitaran kebergantungan kepada kaedah lama kerana kekangan kewangan dan levi tahunan yang membebankan.

Dengan pengecualian levi ini, mereka kini punya ruang dan masa untuk menstruktur semula silibus agar lebih sejajar dengan kehendak industri semasa, melabur dalam latihan pensyarah dan sistem e-pembelajaran moden dan menerapkan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah (PBL), bukannya semata-mata hafalan.

Ia akan mewujudkan satu lonjakan kualiti dari dalam satu bentuk 'reset' yang amat diperlukan sektor swasta sejak bertahun-tahun.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pendidikan swasta kini dilihat tidak lagi hanya menjadi pilihan golongan elit. Hari ini, ribuan anak muda daripada keluarga B40 dan M40 turut bergantung kepada kolej swasta tempatan untuk mendapat kemahiran kerja.

Pengecualian levi ini, jika dimanfaatkan secara adil dan bertanggungjawab, ia boleh mengurangkan tekanan kos ke atas institusi, sekali gus mengelakkan kenaikan yuran, membolehkan lebih banyak biasiswa atau yuran bersubsidi ditawarkan kepada pelajar kurang mampu serta menambah baik kemudahan asas seperti makmal, perpustakaan termasuk akses digital.

Namun, ia hanya akan tercapai sekiranya institusi tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan, tetapi menjadikan insentif ini sebagai peluang membina nilai pendidikan sebenar.

Dalam pada itu, kerajaan telah memperjelas komitmen dalam bidang transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor sebagai tumpuan masa depan negara melalui kerangka Ekonomi Madani.

Justeru, ini masanya institusi pendidikan swasta memainkan peranan strategik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ini.

Dengan pengecualian levi, mereka kini berpeluang memperluaskan penawaran program AI, data sains, automasi dan teknologi hijau.

Kerjasama industri–institusi boleh diperkukuh melalui insentif ini, memastikan latihan dan kursus selari dengan keperluan sebenar pasaran.

Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, insentif ini bukan bersifat populis tetapi satu pelaburan strategik untuk mencipta ekosistem pendidikan yang sejajar dengan realiti masa depan pekerjaan.

Maka, pengawasan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu dilaksanakan secara berkala dengan petunjuk prestasi (KPI) jelas yang mesti dicapai oleh institusi yang menerima pengecualian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!