Ribut: JKR laksana pemeriksaan keselamatan, sekolah ditutup sementara

Keadaan bumbung Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya musnah akibat kejadian ribut yang melanda pada Rabu. Foto Bernama
Keadaan bumbung Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya musnah akibat kejadian ribut yang melanda pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Kuala Langat sedang menjalankan pemeriksaan struktur serta penilaian keselamatan terhadap beberapa bangunan awam yang rosak di Telok Panglima Garang, Selangor akibat dilanda ribut petang Rabu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya antara premis terjejas apabila bumbungnya mengalami kerosakan dan JKR menasihati pihak sekolah agar menangguhkan sesi persekolahan sehingga keselamatan struktur bangunan dapat dipastikan.

"Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Selangor juga sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian bangunan terjejas sebagai langkah awal mengelakkan kemalangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata, blok baharu di bawah program Sekolah Berkepadatan Tinggi yang baru diserahkan turut mengalami kerosakan kecil pada penutup bumbung dan kontraktor diarahkan melaksanakan pembaikan segera.

"JKR sedang menyediakan anggaran kerja pembersihan serta perlindungan aset bagi mengelakkan kerosakan lebih serius. Saya telah mengarahkan agar semua tindakan dilaksanakan segera dengan sewajarnya,” katanya.

Alexander turut merakamkan simpati kepada mangsa insiden runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang di Dewan Wawasan Kampung Medan, Kuala Langat.

"Setakat ini, saya dimaklumkan seorang wanita cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan dan berjaya diselamatkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan.

"Beberapa murid turut dilaporkan cedera ringan apabila runtuhan berlaku di surau Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Beliau menasihati orang awam supaya menjauhi kawasan terjejas bagi mengelak kejadian tidak diingini serta menyeru semua pihak menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seorang wanita berusia 51 tahun cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan bumbung Dewan Wawasan Kampung Medan yang turut menempatkan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, susulan ribut dan hujan lebat petang Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dilapor berkata bumbung sebuah premis bersebelahan dewan yang menempatkan surau KAFA turut runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh murid cedera ringan. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • JKR Selangor menjalankan pemeriksaan struktur dan penilaian keselamatan bangunan awam rosak di Telok Panglima Garang akibat ribut
  • SK Sijangkang Jaya terjejas, bumbungnya rosak, dan sesi persekolahan ditangguhkan
  • Pemeriksaan sistem pendawaian bangunan oleh CKE JKR Selangor sebagai langkah awal mengelak kemalangan
  • Blok baru di bawah program Sekolah Berkepadatan Tinggi mengalami kerosakan dan kontraktor diarah pembaikan segera
  • Seorang wanita cedera dan sekurang-kurangnya tujuh murid cedera ringan akibat runtuhan bangunan dalam ribut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!