Johor perintis sistem AI perolehan kerajaan - SPRM

Azam (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Onn Hafiz.
Azam (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Onn Hafiz.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor bakal menjadi negeri perintis kepada pelaksanaan sistem perolehan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang sedang dibangunkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan ketelusan dan integriti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sistem berkenaan dijangka diuji dalam masa terdekat di Johor sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus serta mencegah penyelewengan dalam proses perolehan kerajaan.

“SPRM sedang membangunkan sistem perolehan berasaskan AI untuk memastikan proses kerajaan lebih telus dan tulus. Johor akan menjadi negeri pertama menguji sistem ini,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus SPRM Bersama Ahli Dewan Negeri (DUN) Johor di Dewan Mesyuarat, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar pada Khamis.

Beliau berkata, Johor dipilih kerana negeri itu pesat membangun dan berdepan risiko tinggi berlakunya kes rasuah berskala besar seiring pertumbuhan ekonominya.

“Apabila ekonomi berkembang pesat, isu integriti menjadi semakin penting. Maka pendekatan pencegahan perlu ditingkatkan, bukan sekadar penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga kefahaman pembuat dasar terhadap prinsip tadbir urus baik,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail dan Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim.

Menurut beliau, hasil tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama pasukan petugas undang-undang, kerajaan berjaya membawa pulang aset dan wang bernilai RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Azam turut menyentuh kempen Keep Malaysia Clean (KMC) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Oktober lalu sebagai inisiatif nasional memperkukuh kesedaran integriti di semua peringkat masyarakat.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyambut baik langkah SPRM menjadikan Johor sebagai perintis sistem AI tersebut dan memberi komitmen penuh untuk bekerjasama memperkukuh integriti pentadbiran negeri.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri bersama barisan Exco dan semua Ahli DUN memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM. Kehadiran SPRM ke Johor adalah peluang penting untuk menambah baik sistem pentadbiran khususnya dalam aspek integriti dan kecekapan,” katanya.

Onn Hafiz berkata, aspirasi Keep Johor Clean (KJC) akan digerakkan selari dengan kempen KMC, seiring pembangunan negeri yang mencatat nilai pelaburan diluluskan mencecah RM56 bilion setakat pertengahan tahun ini dan dijangka melebihi RM100 bilion menjelang hujung tahun.

Sesi libat urus itu dilaksanakan berlandaskan Substrategi 13, Strategi 3: Suara Rakyat di bawah kerangka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 dan melibatkan dua sesi pembentangan berkaitan dasar dan garis panduan tadbir urus sektor awam serta syarikat berkepentingan kerajaan.

 

 

Ringkasan AI

  • Johor bakal menjadi negeri perintis kepada pelaksanaan sistem perolehan berasaskan kecerdasan buatan yang dibangunkan oleh SPRM
  • Sistem ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan integriti dalam urusan pentadbiran kerajaan
  • Pemilihan Johor berdasarkan pertumbuhannya yang pesat dan berisiko tinggi berlakunya kes rasuah
  • Menteri Besar Johor menyambut baik inisiatif ini dan beri komitmen penuh untuk bekerjasama dengan SPRM
  • Kempen Keep Malaysia Clean dilancarkan sebagai usaha memperkukuh kesedaran integriti di semua peringkat masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!