NGO bimbang insiden di sekolah, cadang guru diberi semula kuasa disiplin pelajar

Muhammad Hakim dan Ross Razeq
Muhammad Hakim dan Ross Razeq
A
A
A

SEREMBAN - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meluahkan kebimbangan berhubung pelbagai insiden menyayat hati dan menggemparkan melibatkan pelajar yang berlaku di kawasan sekolah.

Naib Presiden Biro Pendidikan, Perundangan dan Partisipasi Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan, Shahriman Ramly berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menilai semula dasar serta pendekatan pendidikan negara dengan mengembalikan semula nilai moral, sahsiah dan disiplin sebagai teras utama pendidikan.

Menurutnya, sistem hari ini tidak boleh terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan pembentukan karakter dan nilai kemanusiaan.

"MBNNS menyeru agar pendekatan pendidikan baharu yang sedang dirancang memberi penekanan kepada pembinaan insan berilmu yang beradab, bukan sekadar bijak secara intelektual tetapi juga tinggi budi pekerti.

"Pendidik perlu diberikan semula ruang dan kuasa mendisiplinkan pelajar secara berhemah dan terkawal, berlandaskan kasih sayang serta prinsip mendidik, bukan menghukum," katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama ujarnya, pendidikan dan disiplin tidak boleh hanya menjadi tanggungjawab sekolah semata-mata dan tindakan bersepadu pelbagai pihak perlu diperkasakan.

Selain itu katanya, siasatan terhadap setiap insiden keganasan pelajar dilaksanakan secara telus, bebas dan menyeluruh, serta hasilnya diumumkan secara terbuka bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan dan keadilan negara.

"Sekiranya terbukti wujud kecuaian atau kelemahan kawalan, tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Briged Negaraku Negeri Sembilan, Ross Razeq Rosli pula berpendapat ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memperbetulkan cara didikan di rumah terlebih dahulu sebelum hukuman di luar diperketatkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tanggungjawab membentuk nilai dan disiplin tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata sebaliknya ibu bapa perlu kembali memainkan peranan aktif sebagai pendidik pertama dan utama.

"Kami juga ingin menegaskan bahawa pengaruh permainan video tanpa kawalan telah menjadi antara punca kerosakan minda dan emosi pelajar.

"Permainan yang mengandungi unsur keganasan, kebencian dan pembunuhan boleh mempengaruhi pemikiran remaja hingga tahap mereka hilang simpati, malah ada yang sanggup mencederakan diri atau orang lain," jelasnya.

Naib Pengerusi 1 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Sembilan, Muhammad Hakim Mohd Zain pula menegaskan bahawa pelaksanaan dasar sekolah selamat perlu diperkukuh secara menyeluruh.

Menurutnya, pengawasan psikososial serta sistem pemantauan terhadap tingkah laku dan kesejahteraan pelajar perlu diperkasa bagi membolehkan sebarang tanda risiko dikesan lebih awal.

"Kami turut mencadangkan pemerkasaan penubuhan pasukan tindakan keselamatan pelajar di setiap daerah yang melibatkan kerjasama strategik antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan NGO.

"Ia bagi memastikan mekanisme intervensi awal dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, menyeluruh dan berkesan dalam melindungi pelajar serta memulihkan keyakinan terhadap sekolah sebagai ruang paling selamat untuk mereka berkembang," katanya.

Ringkasan AI

  • Beberapa NGO meluahkan kebimbangan terhadap insiden menggemparkan di sekolah dan menyeru KPM menilai semula pendekatan pendidikan
  • Sistem pendidikan perlu lebih fokus pada pembentukan karakter dan nilai moral, bukan hanya pencapaian akademik
  • Pendidik harus diberi ruang mendisiplinkan pelajar dengan kasih sayang, pembinaan karakter harus diprioritaskan
  • Pendidikan dan disiplin bukan tanggungjawab sekolah semata-mata, ibu bapa harus aktif mendidik nilai dan disiplin di rumah
  • Perlu peningkatan pengawasan psikososial dan sistem pemantauan untuk mengesan risiko awal dalam tingkah laku pelajar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!