Garisan Durand: Memisah umat sebangsa, seagama

Pertempuran di sempadan Afghanistan–Pakistan baru-baru ini amat menyayat hati. Gambar hiasan, gambar kecil: Norliza Saleh
Pertempuran di sempadan Afghanistan–Pakistan baru-baru ini amat menyayat hati. Gambar hiasan, gambar kecil: Norliza Saleh
A
A
A

PERTEMPURAN di sempadan Afghanistan–Pakistan baru-baru ini amat menyayat hati.

Dua negara Islam berjiran saling berbalas tembakan di atas tanah yang sama-sama dianggap berdaulat. Sempadan buatan yang dinamakan Durand Line bukan sekadar memisahkan dua wilayah, tetapi juga satu bangsa, sejarah, budaya dan agama.

Dalam beberapa hari, puluhan nyawa terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak manakala laluan utama di Torkham dan Chaman ditutup hingga menjejaskan ribuan penduduk.

Lebih menyedihkan, kedua-dua pihak yang berkongsi bahasa dan agama saling menuduh antara satu sama lain sebagai pengganas.

Mereka terlupa bahawa mereka adalah umat Islam yang berkiblat dan berkitab sama. Beginilah jadinya apabila politik dan ideologi mengatasi nilai rahmah dan keadilan Islam.

Profesor Hashim Kamali dalam The Middle Path of Moderation in Islam menegaskan bahawa keadilan (ʿadl) dan keseimbangan (wasatiyyah) ialah asas tata kelola Islam.

Jalan tengah bukan bermakna pasif, tetapi berasaskan kebijaksanaan, pertimbangan moral dan empati. Dalam konteks Afghanistan–Pakistan, prinsip ini bermaksud keutamaan perlu diberi kepada perdamaian, bukan dendam; kepada dialog, bukan peluru; dan kepada keadilan sosial, bukan kepentingan politik.

Malaysia, sebagai negara Islam yang mengamalkan prinsip kesederhanaan, mempunyai ruang memainkan peranan diplomatik. Sebagai ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan suara penting dalam ASEAN, Malaysia boleh menawarkan diri sebagai jambatan dialog melalui diplomasi kemanusiaan dan pendekatan Islam yang sederhana serta inklusif.

Sejarah membuktikan Malaysia berjaya dalam usaha rundingan damai Mindanao dan isu pelarian Rohingya. Pendekatan ini harus diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Konflik ini juga menuntut refleksi terhadap nilai kepimpinan Muslim masa kini.

Jika umat Islam terperangkap dalam retorik kebencian dan takfir, siapakah lagi yang akan mempertahankan nilai rahmah yang diajar Nabi Muhammad SAW? Jalan tengah yang diseru Profesor Kamali menolak ekstremisme — sama ada ketaksuban politik yang menindas atas nama agama atau sekularisme keras yang menolak nilai spiritual.

Yang dituntut ialah keseimbangan: pemerintahan adil, berperikemanusiaan yang berpaksikan maslahat bersama.

Mangsa sebenar konflik ini bukanlah pemimpin atau tentera, tetapi rakyat kecil — wanita, kanak-kanak dan mereka yang mencari rezeki di sempadan yang kini sepi.

Mereka tidak menuntut lebih, sebaliknya mendambakan keamanan untuk hidup, belajar dan membesarkan anak-anak tanpa dihantui rasa takut..

Oleh itu, seruan Malaysia kepada gencatan senjata dan dialog antara Kabul dan Islamabad bukan sekadar gesaan diplomatik, tetapi tanggungjawab moral yang lahir dari kefahaman Islam seimbang dan penuh hikmah.

Dunia Islam harus kembali kepada prinsip keadilan dan kesederhanaan. Keamanan bukan kemenangan satu pihak, tetapi hasil keseimbangan antara kuasa dan belas kasihan.

Kini tibalah masanya Malaysia, melalui OIC dan ASEAN, menzahirkan suara Islam yang berpaksikan hikmah dan keadilan. Garisan Durand yang memisahkan satu umat ini tidak seharusnya menjadi tembok, tetapi jambatan menuju jalan perdamaian.

* Norliza Saleh ialah Felo Kanan (Asia Tenggara) di Institut Kajian Islam Lanjutan Malaysia (IAIS Malaysia)

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!