Venezuela gesa China, Rusia dan negara Islam sokong Iran
Dalam menghadapi serangan ketenteraan Israel yang disifatkannya sebagai 'jenayah terang-terangan'.

TEHERAN – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menggesa negara-negara besar seperti China, Rusia, Turkiye serta negara Islam dan anggota negara Selatan Global (Global South) agar menyatakan sokongan kepada Iran dalam menghadapi serangan ketenteraan Israel yang disifatkannya sebagai 'jenayah terang-terangan'.
Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita Al Mayadeen baru-baru ini, Maduro memberi amaran bahawa tindakan agresif Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu boleh membawa kepada bencana yang lebih besar jika tidak dihentikan segera.
Beliau menyeru komuniti antarabangsa terutama negara-negara berpengaruh dari segi politik dan ketenteraan supaya bertindak pantas untuk mengekang tindakan Israel yang dilihat cuba mencetuskan perang lebih besar di Asia Barat.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Dunia mesti menyokong Iran dalam usahanya menegakkan keamanan. Serangan yang dilakukan rejim Zionis ke atas wilayah kedaulatan Iran adalah tindakan kejam dan melanggar undang-undang antarabangsa,” tegas Maduro.
Beliau turut menyatakan bahawa keamanan sejagat hanya akan dapat dicapai sekiranya masyarakat antarabangsa bertindak bersama dan tidak membiarkan sebarang bentuk pencerobohan yang mengancam kestabilan serantau.
Kenyataan Maduro hadir ketika konflik antara Israel dan Iran terus memuncak, dengan serangan udara dan peluru berpandu berlaku hampir setiap hari sejak 13 Jun lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

