Sejarah dan masa depan MIC

PADA tahun 1955, MIC menyertai Perikatan bersama UMNO dan MCA dan kemudian bertukar nama kepada Barisan Nasional (BN) sejak 1974 hingga kini.
MIC bukan parti biasa, selain menjadi pengasas awal Perikatan, ia juga merupakan simbol kerjasama antara kaum yang menjadi asas kepada politik Malaysia.
Malangnya hari ini MIC berada di persimpangan dilema. MCA dan MIC tidak diberikan jawatan dalam Kabinet, namun pemimpin daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan parti kecil pula mendapat jawatan timbalan menteri. Ini merupakan suatu tamparan hebat bagi dua parti ini.
Ada penganalisis politik berpendapat MIC mungkin tidak mempunyai kekuatan dari segi angka di Dewan Rakyat tetapi masih mempunyai kekuatan dari segi pengalaman dan imej yang baik, malah MIC masih berupaya untuk menjadi penggerak dalam masyarakat India. Jentera akar umbi parti ini memang hebat.
Sempena ulang tahun pemergian Presiden MIC ke-7, Tun Samy Vellu yang meninggal dunia pada September 2022, muncul beberapa nostalgia bagi saya.
Beliau pernah berkata, MIC akan tenggelam atau berenang bersama UMNO. Inilah pendirian beliau semasa masih hidup.
Apa yang hendak dikatakan di sini adalah betapa hubungan erat dan paling akrab wujud dalam kalangan UMNO, MCA dan MIC.
Begitu jugalah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang memiliki DNA UMNO suatu ketika dulu.
Sejarah
Imbas kembali pada era 1950-an, kerjasama antara UMNO, MCA dan MIC di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Cheng Lock dan Tun Sambanthan membuka jalan ke arah rundingan kemerdekaan.
Kemenangan besar Perikatan dalam pilihan raya 1955 menjadi bukti rakyat sudah bersedia mentadbir tanah air sendiri. Tanpa tanah air, kita ibarat pohon tanpa akar.
“Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita.” Inilah kata-kata mutiara Tunku Abdul Rahman yang bukan sekadar pesanan, tetapi peringatan abadi. Kestabilan Perikatan semasa zaman beliau memang kukuh.
Tunku pernah berkata, walaupun hanya ada seorang ahli dalam MCA, mereka akan tetap bekerjasama dan wujud bersama UMNO.
Begitulah hebatnya jalinan antara parti-parti Perikatan pada ketika itu.
Malah Tan Sri Jefferey Chiah juga pernah berkata : “Semarak perpaduan bukan api perpecahan. Kepelbagaian negara kita bukan penghalang, sebaliknya ia adalah kekuatan.”
Memetik kata-kata Mahatma Gandhi pula, “Jadilah perubahan yang anda ingin lihat di dunia ini. Setiap parti politik mestilah mengambil sikap yang sederhana, seimbang dan adil kepada semua.”
Kerjasama politik UMNO, MCA dan MIC sejak sebelum merdeka bukan sekadar strategi pilihan raya, tetapi asas pembentukan Tanah Melayu pada tahun 1957 sebelum diperluaskan menjadi Malaysia pada tahun 1963.
Gabungan itu bermula daripada kejayaan bersejarah pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952 apabila MCA dan MIC membawa sokongan masyarakat Cina dan India kepada UMNO untuk membantu Perikatan.
MCA dan MIC berperanan sebagai jambatan keyakinan antara komuniti bukan Melayu dengan kepimpinan Melayu yang mempercepatkan proses untuk mendapatkan kemerdekaan.
Presiden-Presiden UMNO dan Perdana Menteri-Perdana Menteri memang begitu hebat mendukung cita-cita MIC dan kemahuan masyarakat India.
Dalam buku Peristiwa 13 Mei, Tunku Abdul Rahman telah menyebut: “Kami sentiasa memastikan bahawa komuniti orang India mempunyai tidak kurang daripada dua orang wakil dalam Kabinet.”
Tun Abdul Razak juga pernah menyatakan bahawa MIC bermaksud Melayu-India-Cina ketika menjadi tetamu khas dalam sidang CWC MIC yang pada ketika itu MIC dipimpin oleh Tan Sri Manickavasagam.
Pada tahun 1978 dalam rombakan Kabinet, Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pula melantik Timbalan Presiden MIC, Tan Sri Athi Nahappan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Malah ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau melihat MIC sebagai sebuah parti yang stabil walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Buktinya pencapaian MIC pada Pilihan Raya Umum 2004 begitu hebat. Seperti UMNO, prestasi MIC ialah 100 peratus.
Justeru Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi memperuntukkan satu jawatan menteri penuh, tiga timbalan menteri dan tiga setiausaha Parlimen.
Ketika zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, beliau juga mengumumkan dalam mesyuarat perwakilan MIC bahawa seorang lagi dilantik sebagai menteri penuh.
Untuk rekod, Kaum Tamil adalah kaum majoriti dalam kalangan masyarakat India.
Rundingan
Penganalisis politik dalam kalangan kaum India, Datuk David Gurupatham melihat hala tuju BN dan MIC dari sudut berbeza. Peguam itu menegaskan, komuniti India masih relevan dalam pembangunan negara dengan MIC tetap dilihat sebagai penyampaian wadah perjuangan kaum itu yang lebih dipercayai berbanding pihak-pihak lain.
Tetapi yang jadi kebimbangan ialah jumlah kerusi yang boleh ditanding MIC pada PRU16 kelak lebih sedikit jika BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Oleh itu timbul desas-desus yang mengatakan MIC akan meninggalkan BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sekiranya menyertai PN, MIC belum tentu akan dapat rakan kongsi politik yang sanggup untuk jatuh dan bangun bersama seperti dengan UMNO.
Bekas Setiausaha BN Pulau Pinang, Azizi Safar pula berpendapat mengekalkan MCA dan MIC membawa nilai sejarah, pengalaman pentadbiran dan rangkaian akar umbi merentasi kaum.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut meminta BN menyelesaikan sebarang konflik melalui meja perundingan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula menasihatkan kerjasama dengan BN masih lagi keputusan terbaik untuk MCA dan MIC. kerana keadaan politik sekarang tidak sama lagi seperti dahulu.
Justeru, saya yakin MIC dan MCA akan diterima kembali oleh rakyat. Bagaimanapun, ia akan mengambil masa sedikit demi sedikit dan bukan akan berlaku secara mendadak.
*Peruji Perumal ialah Penolong Pengarang Malaysia Nanban
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
