SWCorp giat kempen elak pembaziran sempena Deepavali

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu menyampaikan muruku secara percuma kepada orang ramai pada Program Libat Urus Deepavali Lestari 2025 di Tapak Parkir Stadium Bukit Jalil. Foto Bernama
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu menyampaikan muruku secara percuma kepada orang ramai pada Program Libat Urus Deepavali Lestari 2025 di Tapak Parkir Stadium Bukit Jalil. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran makanan terus dilaksanakan menerusi Program Libat Urus Deepavali Lestari 2025 oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata, program itu memberi tumpuan kepada 'Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran' bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berhemah dalam menguruskan makanan terutama pada musim perayaan.

Beliau berkata, kempen berkenaan menyasarkan peniaga dan pengunjung supaya tidak membazir serta mengamalkan gaya hidup lestari bagi membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan.

“Tumpuan kita sebenarnya adalah memastikan peniaga dan para pengunjung ingat supaya jangan membazir makanan kerana kita mahu kurangkan sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra bersama peniaga serta pengunjung di tapak bazar Stadium Bukit Jalil di sini, pada Isnin.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk edaran apron, topi dan pelekat kesedaran kepada peniaga, selain pengedaran murukku dan bekas makanan kepada pengunjung sebagai simbol kempen mengurangkan pembaziran makanan dan penggunaan plastik sekali guna.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed; Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Mohd Hafizul Ilmi Shuhaimi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communication Sdn Bhd, Jaggarao Simancha.

Aiman Athirah berkata, Malaysia menghasilkan kira-kira 40,000 tan sisa pepejal setiap hari, dengan 44.5 peratus atau sekitar 18,000 tan daripadanya merupakan sisa makanan.

Katanya, usaha itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh sisa makanan global menjelang tahun 2030.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed bergambar selepas Program Libat Urus Deepavali Lestari 2025 di Tapak Parkir Stadium Bukit Jalil. Foto Bernama
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed bergambar selepas Program Libat Urus Deepavali Lestari 2025 di Tapak Parkir Stadium Bukit Jalil. Foto Bernama

“Kalau kita tengok di peringkat dunia, ada lebih satu bilion tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari dan 60 peratus daripadanya adalah makanan,” katanya.

Beliau menegaskan, pembaziran makanan tidak sepatutnya berlaku memandangkan masih ramai yang berdepan kekurangan makanan di seluruh dunia.

“Ini sangat tidak sihat kerana pada masa yang sama ada kira-kira 800 juta manusia yang kelaparan. Dalam konteks Malaysia, program seperti ini adalah advokasi kepada rakyat agar ketika kita bergembira, kita juga tidak membazir,” ujarnya.

Menurutnya, kempen berkenaan bukan sekadar mengenai makanan, tetapi juga menggalakkan pengurangan penggunaan plastik sekali guna serta pembuangan sampah secara berhemah bagi menjaga kebersihan awam.

Katanya, langkah itu penting untuk mengurangkan kos penyelenggaraan tapak pelupusan sampah selain menyokong matlamat kerajaan ke arah negara bersih dan mampan.

“Kita perlu mengurangkan pembaziran makanan serta sisa pepejal kerana ia menjejaskan bajet penyelenggaraan tapak pelupusan dan kebersihan awam. Jadi, kempen sebegini adalah pendidikan berterusan kepada masyarakat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sebanyak 300 gerai makanan menyertai program berkenaan dengan penyertaan 50 petugas SWCorp yang digerakkan sejak 11 Oktober lalu hingga 19 Oktober ini.

Sementara itu, Khalid berkata, SWCorp komited memastikan tahap kebersihan negara kekal terbaik melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Alam Flora.

“Kami bersama rakan strategik seperti Alam Flora mempunyai komitmen tinggi untuk memastikan tanah air kita bersih dan kebersihan kita setara dengan negara-negara maju,” katanya.

Beliau berkata, SWCorp akan terus memperkukuh peranan mendidik masyarakat melalui aktiviti libat urus, kempen kesedaran dan kolaborasi bersama sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kerjasama strategik ini penting kerana kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama. Dengan pendekatan bersepadu, kita mampu mengubah sikap masyarakat. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!