Perak sasar tarik pelaburan baharu, perkukuh sektor ekonomi sejajar Belanjawan 2026

Saarani (tujuh dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang selepas menyempurnakan Majlis Penutupan AKAR, AKSI dan J-SINC Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Terbuka, RTC Gopeng pada Ahad.
Saarani (tujuh dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang selepas menyempurnakan Majlis Penutupan AKAR, AKSI dan J-SINC Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Terbuka, RTC Gopeng pada Ahad.
A
A
A

GOPENG - Perak akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik pelaburan baharu dan memperkukuh sektor ekonomi sejajar dengan fokus Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Belanjawan 2026 memperlihatkan keseimbangan antara pembelaan rakyat, disiplin fiskal dan pertumbuhan masa hadapan sejajar dengan aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik pendekatan kerajaan Persekutuan yang memberi penekanan terhadap bantuan langsung kepada rakyat, pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembangunan kemahiran tenaga kerja, peralihan hijau dan pemerkasaan sektor digital.

"Selaras dengan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menyelaraskan fast-track facilitation untuk menggalakkan pelaburan baharu dan peluasan kapasiti perusahaan tempatan dalam sektor halal, logistik, tenaga hijau dan pembuatan bernilai tambah.

"Kita juga akan menggiatkan program TVET dan memperluas kerjasama industri bersama GLC, universiti serta pusat latihan bagi memanfaatkan dana peningkatan kemahiran Persekutuan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Program Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR), Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) dan J-SINC Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Terbuka, RTC Gopeng pada Ahad.

Saarani berkata, kerajaan negeri amat menghargai pengumuman projek yang menyentuh secara langsung pembangunan negeri itu termasuk Taman Industri Halal Perak (HIP) yang bakal menjadi pemangkin kepada ekosistem halal serta rantaian nilai agromakanan dan pembuatan berasaskan halal.

"Kami minta RM157 juta dan peruntukan yang diluluskan RM124 juta. Alhamdulillah, ini sangat baik kepada kita.

"Dari segi perkembangan Perak HIP, kita telah mendapatkan Kebenaran Merancang Majlis Perbandaran Manjung dan segala isu berkaitan juga telah diselesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Saarani berkata, kerajaan negeri turut menyambut baik pengumuman mengenai pembinaan sekolah terapung untuk anak-anak Orang Asli di Hulu Perak yang dilihat sebagai inovasi bagi memastikan akses pendidikan di kawasan pedalaman.

Tambahnya, peruntukan naik taraf kecil sekolah tahfiz dan pondok di seluruh negara yang turut melibatkan Perak akan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pembelajaran pelajar.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada negeri-negeri bagi pemuliharaan biodiversiti yang menurutnya penting dalam memastikan pembangunan di Perak berjalan secara lestari.

Menurut Saarani, tumpuan kerajaan Persekutuan terhadap peningkatan kemahiran tenaga kerja termasuk pekerja gig, serta pengukuhan keselamatan sosial dan ekonomi akan mempercepat agenda TVET Perak.

Katanya, ia juga akan mengukuhkan kebolehpasaran tenaga kerja terutama di kawasan pertumbuhan seperti Tanjong Malim, Manjung–Lumut, Kerian dan Kinta.

 

Ringkasan AI

  • Perak akan melaksanakan inisiatif untuk menarik pelaburan baharu dan memperkukuh sektor ekonomi sejajar dengan Belanjawan 2026
  • Kerajaan negeri menyambut baik pendekatan kerajaan Persekutuan yang menekankan bantuan langsung kepada rakyat dan pemerkasaan sektor digital
  • Kerajaan negeri akan menyelaraskan proses untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor halal, logistik, tenaga hijau dan pembuatan bernilai tambah
  • Kerajaan negeri menghargai pengumuman projek termasuk pembinaan Taman Industri Halal Perak yang akan memajukan ekosistem halal
  • Tumpuan diberikan kepada peningkatan kemahiran tenaga kerja termasuk melalui program TVET dan kerjasama dengan GLC, universiti serta pusat latihan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!