Ramai pemandu e-hailing belum terima kuota tambahan BUDI95 – NeHDA

GEORGE TOWN – Ramai pemandu e-hailing sepenuh masa masih belum menerima kuota tambahan subsidi petrol bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) walaupun tarikh akhir pengagihan ditetapkan pada 15 Oktober ini.
Persatuan Pemandu e-Hailing Utara (NeHDA) mendakwa pelaksanaan program subsidi itu masih belum jelas dan tidak menyeluruh, walaupun telah diumumkan oleh kerajaan.
Pengerusinya, Zabidi Bahador berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pemandu yang telah mencapai kuota 300 liter petrol namun masih belum menerima tambahan 300 liter seperti yang dijanjikan.
“Ada segelintir pemandu yang sudah menerima manfaat itu, tetapi majoriti masih terkandas kerana kriteria kelayakan tidak diumumkan secara telus.
“Data yang digunakan juga mungkin tidak mewakili keseluruhan industri e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Zabidi, berdasarkan maklumat di Laman Web Rasmi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), lebih 293,000 Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) telah dikeluarkan kepada pemandu di seluruh negara melalui pelbagai syarikat e-hailing (EHO).
Namun katanya, jumlah pemandu aktif sebenarnya dianggarkan hanya sekitar 80,000 hingga 90,000 orang, kerana ramai memiliki lebih daripada satu EVP atau hanya beroperasi secara separuh masa.
“Persoalannya, berapakah jumlah sebenar pemandu e-hailing di Malaysia dan bagaimana kerajaan membuat pengiraan kelayakan subsidi ini?” katanya.
Zabidi menambah, kerajaan memaklumkan bahawa data kelayakan subsidi sedang dipadankan antara syarikat e-hailing dan APAD, namun tidak dinyatakan berapa banyak syarikat yang terlibat dalam proses berkenaan.
“NeHDA bimbang sekiranya hanya satu atau dua syarikat besar seperti Grab dijadikan sumber data utama, maka pemandu dari aplikasi tempatan seperti MyCar, GV Ride, MyRide, AirAsia Ride dan lain-lain akan tercicir daripada senarai penerima subsidi.
“Ramai pemandu dari aplikasi tempatan juga aktif dan memiliki Lesen PSV serta EVP yang sah. Mereka tidak wajar diketepikan hanya kerana bukan dari syarikat dominan,” ujarnya.
Pada masa sama, Zabidi turut menzahirkan kebimbangan terhadap tekanan kos operasi dan ketidakseimbangan pasaran yang semakin menekan pemandu e-hailing.
Beliau berkata, tiada kawalan terhadap kadar tambang lantai bagi setiap kilometer dan setiap minit menyebabkan tambang terus menurun ke paras tidak munasabah, manakala kos pengoperasian seperti insurans e-hailing meningkat hampir 100 peratus.
“Pendapatan pemandu semakin terhimpit. Ramai terpaksa menggunakan pelbagai aplikasi secara serentak untuk menjamin pulangan yang lebih stabil,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan pelaksanaan subsidi lebih adil dan inklusif, beliau berkata, NeHDA mengemukakan empat cadangan utama kepada kerajaan, iaitu memastikan semua EHO diberi akses sama rata dalam proses padanan data subsidi BUDI95 dan tidak terhad kepada syarikat dominan sahaja.
“Selain itu, kita mencadangkan agar pemandu yang memiliki EVP sah dan aktif diluluskan secara automatik tanpa diskriminasi terhadap platform.
“Kita juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan mekanisme semakan dan rayuan terbuka bagi pemandu yang tercicir daripada senarai kelayakan.
“Kerajaan juga perlu mengawal semula kadar tambang lantai dan struktur insurans e-hailing agar industri kekal mampan dan adil.
“NeHDA bersedia menjadi rakan strategik kerajaan bagi memastikan pelaksanaan subsidi BUDI95 berjalan secara telus, inklusif dan memberi impak tinggi kepada semua pemandu,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberikan kelayakan tambahan kuota BUDI95 yang lebih tinggi kepada pemandu e-hailing dan p-hailing sepenuh masa yang menggunakan kenderaan sendiri bagi menjana pendapatan.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kelayakan di bawah program BUDI95 akan ditetapkan berdasarkan data penggunaan kenderaan dan corak perjalanan sebenar.
Tambahnya, bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, kelayakan kuota BUDI95 akan dinaikkan berbanding pengguna biasa memandangkan mereka menggunakan petrol dalam jumlah yang lebih besar bagi tujuan pekerjaan harian.
Ringkasan AI
- Ramai pemandu e-hailing sepenuh masa masih belum menerima kuota tambahan subsidi petrol bersasar Budi Madani RON95 walaupun tarikh akhir pengagihan ditetapkan pada 15 Oktober
- Persatuan Pemandu eHailing Utara mendakwa pelaksanaan program subsidi itu masih belum jelas
- Zabidi Bahador, Pengerusi NeHDA, menerima banyak aduan pemandu yang belum menerima tambahan 300 liter subsidi petrol
- Kerajaan memaklumkan data kelayakan subsidi sedang dipadankan antara syarikat e-hailing dan APAD
- NeHDA mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan untuk memastikan pelaksanaan subsidi lebih adil dan inklusif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

