600 liter sebulan untuk pemandu e-hailing masih tidak mencukupi - Penghantar

SHAH ALAM – Kerajaan didakwa gagal membezakan antara subsidi petrol untuk kegunaan peribadi dan kuota bahan api bagi tujuan pekerjaan berikutan perbezaan itu memberi kesan terus kepada pendapatan ribuan pemandu e-hailing.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dalam kenyataannya berkata, realitinya pemandu e-hailing menggunakan kenderaan yang sama untuk bekerja dan kegunaan harian keluarga.
"Polisi yang tidak memisahkan dua keperluan ini jelas tidak berpijak pada realiti industri.
"Inisiatif BUDI95 sebanyak 300 liter sebulan hanyalah untuk kegunaan individu biasa, bukan untuk mereka yang menjadikan kenderaan sebagai sumber rezeki harian," katanya pada Rabu.
Katanya, penambahan kuota daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan masih tidak mencukupi bagi mereka yang bekerja sepenuh masa, khususnya di kawasan bandar utama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
"Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) perlu segera turun padang, buat kajian semula mekanisme BUDI95 secara menyeluruh dan libatkan wakil industri, termasuk persatuan pemandu.
"Dasar subsidi yang tidak berasaskan corak kerja sebenar ekonomi gig hanya akan menambah tekanan kepada pemandu yang bergantung pada pendapatan harian untuk menyara keluarga.
“Pemandu bukan meminta simpati, mereka menuntut keadilan dalam pelaksanaan dasar. Subsidi yang gagal sampai pada kumpulan sasar bukan lagi bantuan, tetapi satu bentuk pengabaian kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, persatuan berkenaan turut berkongsi luahan seorang pemandu e-hailing yang berpendapat mekanisme subsidi petrol sedia ada masih belum menepati keperluan sebenar golongan itu.
Ringkasan AI
- Kerajaan didakwa gagal membezakan antara subsidi petrol untuk kegunaan peribadi dan kuota bahan api bagi tujuan pekerjaan
- Pemandu e-hailing menggunakan kenderaan yang sama untuk bekerja dan kegunaan harian keluarga
- Inisiatif BUDI95 memberi 300 liter sebulan yang tidak mencukupi untuk kegunaan mereka yang menjadikan kenderaan sebagai sumber rezeki
- Penambahan kuota daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan masih tidak mencukupi bagi pemandu sepenuh masa
- Pemandu menuntut keadilan dalam pelaksanaan dasar subsidi dan mendesak kajian semula mekanisme BUDI95
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
