Covid-19: 101 juta rakyat AS jalani perintah kuarantin

Sebuah jalan raya di New York kosong selepas negeri itu diletakkan di bawah perintah kuarantin. - Foto Agensi
Sebuah jalan raya di New York kosong selepas negeri itu diletakkan di bawah perintah kuarantin. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Hampir satu pertiga rakyat Amerika Syarikat (AS) kini diarah berada di rumah bagi membendung penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) selepas Ohio, Louisiana dan Delaware menjadi negeri baharu yang menggubal sekatan itu.

Ketiga-tiga negeri itu menyertai New York, California, Illinois, Connecticut dan New Jersey yang menempatkan seramai 101 juta rakyat AS ketika keseluruhan kes di negara itu kini mencecah sebanyak 35,224 kes yang disahkan dengan 471 kematian.

“Setiap bukti menunjukkan bahawa kita berada pada tahap penting dalam peperangan ini dan apa yang kita lakukan sekarang akan melambatkan virus dalam sistem kesihatan kita. Jadi, kita ada masa untuk merawat mangsa,” kata Gabenor Ohio, Mike DeWine.

Menurut laporan Reuters, setakat ini, Ohio mempunyai 351 kes yang disahkan dengan tiga kematian manakala Louisiana mencatatkan 837 kes dan 20 kematian.

Gabenor Louisiana, John Bel Edwards berkata, negerinya merekodkan kes ketiga tertinggi per kapita dan peningkatan 10 kali ganda sejak minggu lalu.

Perintah lockdown di Ohio berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 6 April manakala perintah sama di Louisiana bermula pada jam 5 petang (waktu tempatan) hari ini sehingga 12 April dan Delaware memulakan lockdown pada jam 8 pagi esok. - Agensi

Artikel Berkaitan: