[VIDEO] LIMA '23: Syarikat penerbangan, feri diarah tambah trip

Anthony (tiga dari kanan) ketika hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari JPJ yang ke-77 di Seremban pada Ahad.
Anthony (tiga dari kanan) ketika hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari JPJ yang ke-77 di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan mengarahkan syarikat penerbangan dan operator feri supaya menambah jumlah perjalanan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bagi menampung kapasiti kehadiran pengunjung yang dijangka meningkat pada program selama lima hari itu selepas sepatutnya diadakan pada 2021, namun tertangguh akibat Covid-19.

"Kita memang minta syarikat penerbangan dan operator feri menambah jumlah perjalanan sebab memang kita tahu bahawa apabila pameran LIMA ini diadakan, ramai pengunjung akan pergi ke Langkawi.

"Jadi kita harap mereka (syarikat penerbangan dan operator feri) ini memberikan kerjasama untuk kebaikan kerana mereka juga akan dapat manfaat," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Majlis Perasmian Sambutan Hari Jabatan Pegangkutan Jalan (JPJ) yang ke-77 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

Dalam pada itu, Anthony menjelaskan berhubung kerja pengerukan (pengorekan) di Kuala Perlis, ia telah pun selesai mengikut jadual dan akan dipastikan tidak mengganggu perjalanan feri semasa pameran LIMA ini.

"LIMA ini saya tidak berapa bimbang sebab kita ada pengalaman yang baik dan syarikat yang diberikan amanah untuk menganjurkannya sudah tentu membuat persiapan yang lama.

"Saya difahamkan sambutan kali ini cukup luar biasa sebab booth yang kita telah sediakan itu semua telah (habis) pun ditempah dan ia merupakan satu pameran yang dinanti-nantikan kerana sudah empat tahun tidak diadakan, siri terakhir ialah pada tahun 2019," katanya.

Sementara itu katanya, mengenai tambang feri ia semangnya dikawal dan telah ditetapkan serta tidak boleh dinaikan harganya sesuka hati.

Tambahnya, maklumat lanjut mengenai LIMA pula akan dimaklumkan selepas selesai mesyuarat penyelarasan di antara kementeriannya dengan Menteri Pertahanan yang akan diadakan pada Isnin.

Pameran LIMA ’23 dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei ini dengan lebih 600 syarikat dari 60 buah negara dijangka mengambil bahagian dalam LIMA kali ini berbanding 400 syarikat pada edisi 2019.