Kabel Dasar Laut Madani usaha kerajaan tingkat sistem telekomunikasi

KULAI - Kerajaan akan membangunkan projek Kabel Dasar Laut Madani dalam usaha meningkatkan sistem telekomunikasi terutamanya bagi penghantaran data melalui Internet.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kabel sepanjang 3,190 kilometer dengan kos pelaburan berjumlah RM2 bilion itu bakal menjadi pemangkin utama kepada usaha kerajaan memperkukuh sistem sistem telekomunikasi dan Internet.
"Kita semua tahu jumlah penghantaran data melalui Internet sangat banyak dan semakin meningkat, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) ini.
"Kita ada Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SCREAM), tapi ia pun dah lama dan kita rasa ada keperluan bagi membina kabel dasar laut yang baharu.
"Pembinaan kabel ini akan melibatkan laluan dasar laut bermula dari Sedili, Johor, menuju ke Kuching dan Sibu di Sarawak, seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Gotong-Royong Perdana Sempena Hari Habitat di Kampung Melayu Bukit Batu, di Muka Sauk Loji Air SAJ Bukit Batu, pada Ahad.

Tambah Nie Ching, sebanyak RM650 juta juga diperuntukkan kerajaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menaik taraf capaian Internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik komuniti serta klinik ibu dan anak di kawasan desa.
“Kita mahu memastikan rakyat luar bandar tidak tertinggal dalam agenda pendigitalan.
"Projek ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan melalui sambungan Internet yang stabil dan pantas,” katanya.
Sementara itu, Nie Ching berharap agar peruntukan berjumlah RM110 juta dalam Insentif Filem di Malaysia (FIMI) atau sektor kreatif dapat menarik penerbit tempatan dan antarabangsa menjalankan penggambaran di negara ini.
"Difahamkan sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi penerbitan filem berunsur kenegaraan dan ia juga beleh digunakan bagi menyokong penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan membangunkan projek Kabel Dasar Laut Madani untuk meningkatkan sistem telekomunikasi
- Projek itu merangkumi pembinaan kabel sepanjang 3,190 kilometer dengan anggaran kos RM2 bilion
- Kabel dasar laut baru ini bertujuan untuk menggantikan Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SCREAM) yang sudah usang
- Laluan kabel akan melintasi beberapa lokasi dari Johor hingga Sabah
- RM650 juta diperuntukkan untuk menaik taraf capaian Internet di fasiliti kesihatan di kawasan desa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
