'Kita masih belum kenal anak sendiri'

Anak-anak hari ini mudah terdedah serta cepat terpengaruh dan mereka sangat dahagakan perhatian dan bimbingan. Gambar hiasan
Anak-anak hari ini mudah terdedah serta cepat terpengaruh dan mereka sangat dahagakan perhatian dan bimbingan. Gambar hiasan
A
A
A

KISAH menyayat hati seorang pelajar Tingkatan Tiga yang didakwa dirogol bergilir-gilir oleh dua pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Melaka membuka satu lagi sisi gelap membabitkan tingkah laku anak-anak dan pendidikan.

Lebih memilukan, perbuatan kejam itu bukan sahaja berlaku dalam kawasan sekolah malah dirakam sendiri oleh rakan pelaku dalam kejadian pada 2 Oktober lalu dalam jam 2.50 petang.

Bagaimana remaja seusia itu boleh berani melakukan perbuatan sekeji itu di tempat mereka belajar? Soalan ini bukan sekadar untuk pihak sekolah atau penguat kuasa, tetapi untuk kita semua sebagai ibu bapa, pendidik dan masyarakat.

Keberanian melampau itu menggambarkan sesuatu yang jauh lebih dalam sempadan nilai dan hilangnya rasa gentar terhadap salah.

Apabila anak sudah tidak malu berbuat jahat di tempat terbuka, itu tanda amaran yang tidak boleh kita abaikan.

Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat tetapi insiden berkenaan menunjukkan bahawa keselamatan bukan sekadar pagar atau kamera litar tertutup, ia juga tentang didikan, pemantauan dan hubungan emosi antara pelajar, guru dan keluarga.

Namun di sebalik semua itu, kita perlu bertanya dengan jujur, adakah kita benar-benar mengenali anak sendiri? Adakah kita tahu apa yang mereka tonton, siapa yang mereka ikut dan bagaimana dunia maya membentuk pemikiran mereka?

Anak-anak hari ini membesar dalam dunia yang jauh berbeza dari kita dulu kerana mereka mudah terdedah, cepat terpengaruh, tetapi dalam masa sama sangat dahagakan perhatian dan bimbingan.

Pendidikan moral dan sivik perlu diberi nafas baharu, ia bukan sekadar menghafal nilai, tetapi memahami maknanya dalam kehidupan seharian kerana remaja perlu diajar bahawa keberanian sebenar ialah menolak perkara salah walau ditentang rakan.

Artikel Berkaitan:

Pihak sekolah juga perlu memperkukuh sistem sokongan bukan hanya disiplin, tetapi juga kaunseling dan hubungan guru dengan pelajar.

Ibu bapa pula perlu menjadi tempat anak meluah, bukan tempat mereka takut susulan kawalan yang berkesan lahir daripada komunikasi yang terbuka sekali gus dapat membimbing anak-anak daripada dihukum tanpa diberi ruang menjelaskan diri.

Kejadian berkenaan bukan sekadar tragedi di sebuah sekolah kerana ia cermin kepada apa yang sedang berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita.

Selagi kita belum benar-benar mengenal anak sendiri, hatinya, tekanannya dan dunia kecilnya selagi itu kita tidak akan benar-benar mampu melindungi mereka.

Ringkasan AI

  • Kisah menyayat hati seorang pelajar Tingkatan Tiga dirogol bergilir-gilir oleh dua pelajar senior di Melaka
  • Perbuatan itu dirakam oleh rakan pelaku
  • Peristiwa mengundang pertanyaan tentang peranan sekolah, ibu bapa, dan masyarakat dalam mendidik akhlak
  • Emphasi diperlukan pada pendidikan moral dan sivik serta hubungan emosi antara pelajar, guru, dan keluarga
  • Pentingnya komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak untuk membimbing dan melindungi mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!