TVET teras lahirkan tenaga mahir tempatan

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Sabtu.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Modul pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berasaskan teknologi tinggi seperti robotik akan terus diperkukuh, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026 yang menyediakan peruntukan lebih tinggi sebanyak RM7.9 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ekosistem pendidikan TVET yang diperkuatkan ini termasuklah kecerdasan buatan (AI), automotif dan Internet of Things (IoT) bertujuan melahirkan tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak pelabur multinasional (MNC).

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu berkata, ketika ini pasaran pelaburan langsung asing (FDI) antaranya di Kulim Hi-Tech Park, cadangan Lembah Silikon Kedah, Johor-Singapore Special Economic Zone dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) memerlukan negara menyediakan tenaga berkemahiran tinggi yang mencukupi.

“Kita tidak mahu tenaga mahir ini datang daripada pekerja asing tetapi mesti 100 peratus rakyat Malaysia yang mendapat latihan TVET.

“Kami berazam memperkuatkan lagi modul-modul TVET berasaskan teknologi tinggi untuk memenuhi kehendak pasaran khususnya pasaran FDI atau pelabur-pelabur antarabangsa yang melabur di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.

Ahmad Zahid berkata, daripada RM7.9 bilion dana tersebut, sebanyak RM45 juta diperuntukkan kepada Majlis TVET Negara bagi pelaksanaan program menerap teknologi digital dan Al kepada pelajar tahfiz dan pondok.

Selain itu, katanya, sejumlah RM1.3 bilion diperuntukkan kepada institut di bawah Kementerian Pendidikan, RM3 bilion kepada Human Resource Development Corporation (HRD Corp), RM650 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan RM34 juta kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Baki peruntukan akan digunakan untuk membina institusi TVET baharu dan menaik taraf fasiliti di seluruh negara,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan untuk TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 meningkat daripada RM7.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Langkah itu berikutan lebih ramai bakat tempatan bidang TVET diperlukan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi.

Ringkasan AI

  • Modul pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berasaskan teknologi tinggi seperti robotik, kecerdasan buatan, automotif dan Internet of Things akan diperkukuh
  • Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan RM7.9 bilion untuk pembangunan TVET
  • Tujuan pembangunan ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja profesional dan berkemahiran tinggi memenuhi kehendak pelabur multinasional tanpa bergantung pada pekerja asing
  • Sebahagian daripada dana RM7.9 bilion diperuntukkan kepada institut pendidikan, HRD Corp, PTPK, dan Jabatan Pembangunan Kemahiran serta untuk pembinaan dan peningkatan fasiliti institusi TVET
  • Peruntukan untuk TVET dinaikkan daripada RM7.5 bilion pada tahun sebelumnya sebagai respons kepada keperluan industri berpertumbuhan tinggi untuk bakat tempatan bidang TVET

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!