Kedah bayar penuh gaji pekerja kontrak dan PSH: Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri memberi jaminan akan membayar penuh gaji pekerja kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) walaupun mereka tidak dapat bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada golongan gelandangan sepanjang perintah berkenaan.

"Golongan gelandangan yang tiada rumah sepanjang tempoh ini dianggap sebagai orang yang dipantau (person under surveillance).

"Mereka ini ditempatkan di pusat kuarantin Kedah di Institut Aminuddin Baki, Jitra," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, setakat ini ada empat individu ditempatkan di situ iaitu tiga warga asing dan seorang warga tempatan.

"Pusat kuarantin ini penting bagi memantau mereka yang disyaki terkena jangkitan dan jika negatif mereka akan dibenarkan pulang," katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata, beberapa laporan diterima dalam mesyuarat tersebut yang memerlukan kerjasama rakyat sepanjang tempoh memerangi Covid-19 ini.

"Kita terima laporan dari pengusaha pasar raya yang memaklumkan sukar mendapat kerjasama pelanggan bagi menjarakkan diri sekurang-kurangnya semeter dari individu lain ketika beratur membuat bayaran," katanya.

Pada sidang media sama, Mukhriz turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati melakukan pembelian secara atas talian.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menerima laporan ada pihak melakukan pembelian topeng muka serta cecair pembasmi kuman secara atas talian tetapi barang tidak sampai selepas pembayaran dibuat," katanya.

Tambahnya, rakyat juga perlu berhati-hati terhadap kutipan dana awam yang dilakukan pelbagai pihak dalam situasi ini.

"Seboleh-bolehnya guna maklumat yang dikeluarkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi tujuan dana awam ini supaya sumbangan benar sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya.