Bersyukurlah dapat bekerja dalam 'aircond'

Cabaran mereka yang perlu mencari rezeki di bawah panas matahari adalah berganda-ganda ketika cuaca ekstrem ini. - Gambar hiasan 123RF
Cabaran mereka yang perlu mencari rezeki di bawah panas matahari adalah berganda-ganda ketika cuaca ekstrem ini. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KEADAAN cuaca panas ketika ini masih menjadi topik hangat yang meniti di bibir sebahagian rakyat kerana ia melibatkan keselesaan kehidupan seharian.

Secara jujurnya, Merak Jalanan adalah antara rakyat Malaysia yang cukup terkesan dengan suhu ketika ini apabila ada hari diharungi pernah mencecah 37 darjah Celsius.

Baju-baju di ampaian pula jika dibiarkan terlalu lama akan terus mengeras seperti roti canai garing dan lama kelamaan boleh pudar warnanya, kesan panas cuaca ketika ini.

Mesin pengering baju pula dapat berehat panjang pada waktu ini kerana tempoh pengeringan baju menggunakan tenaga matahari lebih pantas dan menjimatkan elektrik.

Tetapi penggunaan pendingin hawa meningkat dengan drastik hinggakan ada waktu terlalu panas, penyejukan suhu dalam rumah menggunakan kelengkapan elektrik itu tidak dapat mencapai suhu diharapkan kerana suhu yang terlalu panas di luar rumah.

Memang tidak logik, tetapi kadangkala terfikir seperti mahu duduk di dalam peti ais kerana tidak tahan dengan suhu panas ketika ini.

Sesungguhnya golongan yang tidak perlu berpanas seperti berada di dalam rumah atau bekerja di dalam pejabat perlu mensyukuri nikmat dapat berada di tempat yang masih selesa berbanding berada di kawasan luar yang terik.

Ini kerana apabila melihat golongan yang perlu mencari rezeki di bawah panas matahari seperti anggota polis trafik, penghantar makanan, pemotong rumput dan ramai lagi, cabaran mereka menghadapi cuaca panas adalah berganda-ganda.

Semoga mereka semua yang bersusah-payah dalam cuaca panas ketika ini dapat terus bertahan dan diberi kesihatan yang baik untuk mengharungi cuaca ekstrem ini.

Kita juga perlu sama-sama berdoa agar dugaan ini tidak berpanjangan dan cuaca yang normal dapat dinikmati seperti sediakala.