Subsidi bersasar RON95 perlu diteruskan

KUALA LUMPUR - [DIKEMASI KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 tetap diteruskan namun tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat.
Beliau berkata, berikutan peningkatan harga minyak ketara susulan konflik Israel-Iran di rantau Asia Barat, timbul cadangan sekarang masa tepat untuk melaksanakan subsidi bersasar.
Bagaimanapun, katanya, banyak kempen negatif berhubung RON95 yang ditaburkan pihak tertentu, sedangkan kerajaan sudah berulang kali memaklumkan bahawa tiada isu tentang peningkatan harga RON95 yang boleh mempengaruhi subsidi.
“Perkara itu harus sentiasa diingat, apa yang diuar-uarkan blok pembangkang adalah satu gimik terdesak untuk menunjukkan rakyat menghadapi kesusahan.
“Banyak sangat khabar negatif daripada mereka (pembangkang), ketika ini kita perlukan khabar positif untuk membantu membangkitkan ekonomi," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, (KLCC) di sini pada Isnin.
Anwar berkata, penjimatan hasil rasionalisasi subsidi akan digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada golongan rentan.
“Kita ingin mempunyai sumber mencukupi untuk membantu orang miskin, meningkatkan kualiti pendidikan dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kedudukan dan operasi Petronas kekal stabil biarpun dalam suasana geopolitik dan pasaran global yang tidak menentu.
Menurut beliau, keyakinan pelabur utama seperti TotalEnergies, Eletrical Instrumentation Engineering (E&I) dan Aramco terhadap Petronas menjadi bukti kekuatan dan reputasi syarikat minyak nasional itu di peringkat antarabangsa.
Anwar juga berkata, Malaysia berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai hab tenaga utama rantau Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini, hasil dasar ekonomi yang konsisten serta kestabilan politik semasa.
“Alhamdulillah, keadaan ini menunjukkan keyakinan dan keupayaan kita untuk cepat meningkat sebagai satu hab tenaga dalam tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa syarikat tenaga utama dunia termasuk E&I dari Itali dan Aramco dari Arab Saudi akan menandatangani perjanjian penting dengan Malaysia dalam masa terdekat.
“Keyakinan pelabur besar seperti E&I dan Aramco itu menunjukkan kepercayaan mereka kepada keupayaan Petronas dan kestabilan pelaburan di Malaysia,” katanya.
Beliau menyifatkan perkembangan ini sebagai isyarat positif kepada pasaran global bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang diyakini, terutamanya dalam sektor tenaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

